‘Tamparan Tg Piai’ mesej pada PH untuk tunai janji manifesto



Rakyat menghantar mesej kepada kerajaan supaya menunaikan janji manifesto, demikian kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengulas kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada Sabtu lalu. 

“Apa yang rakyat mahu lihat adalah bahawa kita kena menunaikan janji-janji yang kita telah buat. Oleh itu, saya rasa adalah penting bahawa PH memberi tumpuan untuk menunaikan janji-janji tersebut seperti mana yang digariskan dalam manifesto pilihan raya PH.

“Saya yakin kalau kita berusaha bersungguh-sungguh, rakyat akan membuat penilaian sendiri, dan membuat keputusan yang memihak kepada kerajaan PH,” katanya seperti dipetik Bernama. 

Beliau berkata selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara SME Bank Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd and China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) pada Isnin.

Calon MCA, Wee Jeck Seng berjaya merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai yang dimenangi PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu dalam pertandingan enam penjuru. 

Jeck memperolehi 25,466 undi, diikuti calon PH, Karmaine Sardini dengan 10,380 undi; calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wendy Subramaniam (1,707); calon Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (850), serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock (380) dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32).

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung. –