Bermulanya pengakhiran atau permulaan baharu buat Pakatan Harapan


Oleh Liew Chin Tong
(Pengarah Pendidikan Politik DAP, Pengerusi DAP Johor, Timbalan Menteri Pertahanan)
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para sukarelawan DAP yang telah berusaha gigih untuk berkempen bagi calon Pakatan Harapan, Haji Karmaine Sardini. Jasa bakti anda terhadap usaha tersebut sangat luar biasa; dan saya tahu bahawa kekalahan ini telah meruntun hati anda semua.

Kekalahan besar di pilihan raya kecil Tanjung Piai adalah suatu persimpangan untuk politik Malaysia. Seakan-akan suatu gempa bumi.

Kita dengan rendah hati menerima kekalahan itu dan menghormati keputusan demokratik orang ramai.
Seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin-pemimpin negeri parti komponen (Syed Ibrahim Syed Noh dari PKR, Aminolhuda Hassan dari Amanah, Mazlan Bujang dari Bersatu, dan saya sendiri); kita harus kembali ke meja rundingan dan mengkaji semula dasar-dasar, pendekatan dan prestasi Pakatan Harapan dan juga kerajaan.

Saat yang lebih sukar kini bermula. Kita harus memahami apakah pengajaran yang didapati daripada keputusan undian kerana ia akan memberi implikasi besar kepada tindakan-tindakan selanjutnya. Setiap tindakan akan mengundang reaksi dan akibat selanjutnya.

Kekalahan yang dahsyat ini akan sama ada menjadi permulaan kepada pengakhiran kerajaan Pakatan Harapan, atau memberi peluang untuk bermula semula ke arah yang lebih baik.

Oleh yang demikian, majlis makan malam penghargaan ini adalah sesi pertama bagi saya dan kepimpinan negeri untuk mendengar pendapat anggota-anggota parti, pasca PRK Tanjung Piai.

Kepimpinan DAP akan menjelajah negeri Johor dan seluruh negara untuk mendengar pendapat bagi merangka langkah-langkah ke hadapan. Saya percaya, kepimpinan Pakatan Harapan juga akan turut mengadakan jelajah yang sama.

Saya berharap supaya jelajah oleh para pemimpin akan berhasil mendapatkan suatu bentuk tawaran baharu dan kerangka perubahan untuk dilaksanakan pada tahun 2020 bagi mengembalikan keyakinan umum.

Bahaya yang sedang dihadapi kerajaan Pakatan Harapan ialah kewujudan pendapat bahawa gabungan ini tidak dapat diteruskan dan mesti ditukar secepat mungkin.

Gabungan UMNO-PAS akan berhujah bahawa Muafakat Nasional, dengan MCA sebagai rakan kongsinya, adalah model yang lebih baik berbanding kerajaan sekarang, dengan memainkan antipati dalam kalangan orang Melayu terhadap DAP. Di sebalik sana, MCA pula akan terus berhujah bahawa DAP telah menjual dirinya kepada Bersatu.

Bingkai perkauman sedemikian adalah berbahaya dan telah terbukti di PRK Tanjung Piai bahawa kita tewas di kedua-dua kelompok Melayu dan bukan-Melayu, malah jalan tengah juga boleh dikalahkan.

Kini kita harus mencari suatu tujuan bersama. Kita mesti menerima bahawa kebangkitan demokratik pada 9 Mei 2018 bererti semua orang kini merasakan mereka mempunyai hak demokratik untuk memilih siapa sahaja, dan mereka bukanlah deposit tetap siapa-siapa. Hampir semua orang adalah pengundi ‘swing’.

Kita memerlukan naratif Malaysia bagi meyakinkan semua kumpulan etnik bahawa mereka tidak terkepung dan diserang. Kegagalan untuk mengajukan sebuah naratif Malaysia yang jelas akan membolehkan para pempengaruh yang telah terbebas untuk membentuk pengaruh dan pendapat secara perkauman yang telah mencetuskan kemarahan melampau di kedua-dua kelompok Melayu dan bukan-Melayu.

Semoga kita dapat memahami pengajaran yang tepat daripada kekalahan ini dan bermula semula, selain mencipta tawaran-tawaran baharu bagi kerajaan Pakatan Harapan dan juga negara. – Roketkini.com

*Ucapan di majlis penghargaan untuk sukarelawan kempen DAP bagi pilihan raya kecil Tanjung Piai pada 17 November 2019