PM TIDAK BOLEH LAGI BERDALIH SERAH JAWATAN



Pagi tadi, Tun Mahathir Mohamad dilaporkan mengalami pendarahan hidung sehingga sidang medianya terpaksa disingkatkan dan kemudian dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.
Walaupun beliau dilaporkan stabil dan tiada apa-apa perlu dibimbangi mengenai kedudukan kesihatannya, tetapi dalam usia menjangkau 95 tahun, jangankan berdarah hidung, luka di jari kelingking pun tetap membimbangkan.
Apa lagi bagi mereka yang bergantung nyawa politik kepadanya, laporan pendarahan hidung itu tidak mustahil membuatkan ada yang jantung mereka berdegup dengan lebih kencang dibuatnya.
Bagaimanapun, apabila petang tadi Tun Mahathir boleh hadir merasmikan Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di sebuah hotel berhampiran KLIA, ramai yang berasa lega.
Maknanya, beliau benar-benar sudah sihat dan tiada apa-apa yang membimbangkan mengenai kesihatannya.
Cuma, dalam sidang media selepas perasmian itu, reaksi Tun Mahathir mengenai peralihan kuasa dilihat tidak begitu menyenangkan.
Sementara mengakui beliau mungkin menjadi salah satu punca kekalahan calon Bersatu di Tanjung Piai, Tun Mahathir bagaimanapun seperti masih mahu berdalih atau mencari alasan untuk melengah-lengahkan, bahkan mungkin enggan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim.
Kata Tun Mahathir, beliau tidak pasti sama ada negara benar-benar sudah sedia dengan peralihan kuasa itu.
“Kita belum tahu lagi keadaan negara sekarang ini, sama ada bersedia untuk beralih pentadbiran ataupun tidak.
“Apabila sampai masanya, kita tentukan,” katanya.
Ehhhh…apa ni Tun, kalau menumbangkan BN dan menjadikan PH sebagai kerajaan pun rakyat Malaysia sedia dan sanggup melakukannya, apalah sangat sekadar bertukar Perdana Menteri daripada gabungan parti-parti yang sama.
Tidak ada masalah sebenarnya, malah lebih ramai negara ini yang tidak sabar melihat peralihan kuasa kepada Anwar itu terlaksana.
Lagi pun, kedudukan Anwar sebagai calon pengganti dan bakal Perdana Menteri ke-8 sudah pun diumum dan diketahui lama sebelum ini lagi.
Bahkan, melihat keadaan negara yang sentiasa bergolak dan Tun sendiri nampaknya tidak mampu melakukan banyak perkara, maklumlah sudah terlalu lanjut usia dan sekarang berdarah hidung pula, hanyalah Anwarlah harapan yang ada dipergantungkan untuk membawa harapan baru.
Oleh itu, janganlah Tun bimbang dengan kononnya ada ketidakpastian negara kepada peralihan itu kerana ia mungkin hanya suatu bisikan jahat saja agaknya.
Bisikan baik yang sebetulnya ialah peralihan kuasa itu mesti dipatuhi dan jangan melebihi tempoh dua tahun sebagaimana yang Tun sendiri janjikan sebelum ini.
Ditakuti jika selepas ini berlaku hidung berdarah lagi atau lain-lain kejadian tak terduga, maka ada baiknya Tun tidak berlengah dan berdalih lagi mengenai peralihan kuasa itu.
Tetapkan tarikhnya sekarang dan rakyat Malaysia akan lebih menyanjungi Tun selepas itu. (ShahbudinHusin 19/11/2019)