*KENALI AZMIN*



Oleh  : Zanirun Baba

Dengan mengenal cara dan seni  politik Azmin, pertemuan malam tadi adalah gimik semata-mata. Ia inisiatif Azmin untuk menimbulkan kegemparan yang kosong. Itulah yang Azmin mahu dengan pertemuan di rumahnya itu. Ia mahu umum melihat beliau ada kekuatan dan sokongan. Dan ia seperti dilayan oleh khalayak.

Sebagai orang terdesak, Azmin melakukan dan boleh melakukan apa-apa sahaja. Azmin kini diasak dengan pelbagai masalah yang belum selesai. Isu video lucah Haziq sangat-sangat menghantuinya. Sokongan terhadapnya dari dalam parti semakin mengurang. Seorang demi seorang rakan dan kawan bersamanya, telah mufaraqah dan sedar serta cemuh dengan political 'animal'nya. Sokongan padu ditunjukkan oleh Keadilan di seluruh negara kepada Anwar sebagai Presiden, tambah meresahnya.

Cuma dalam hal itu beliau bernasib baik kerana mempunyai rakan dan jiran yang baik seperti Hishammuddin yang juga terdesak. Hisham kini sedang menghadapi zaman malap dalam UMNO kerana sikap yang diambilnya tidak mahu sama-sama membangun parti selepas kehilangan kerajaan. Tindakannya tidak mempertahankan jawatan dalam perhimpunan agung UMNO dilihat sikap tidak  bertanggungjawab bekas Naib Presiden itu.

Menyimpulkan pertemuan sekumpulan wakil rakyat di kediaman Azmin malam tadi, adalah sebagai pernyataan apa disebut sebelum ini, kononnya ada 29 orang wakil rakyat UMNO akan bergabung dengan Dr Mahathir. Mereka akan meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu. Penghijrahan itu diketuai Ahli Parlimen Sembrong (Hishammuddin), yang telah pun mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Dr Mahathir.

Bagaimana pun usaha Hishammudin itu yang digelar pula sebagai cuba membentuk kerajaan pintu belakang gagal apabila timbul beberapa kejadian mengejutkan. Ini termasuklah terbongkarnya video lucah Haziq yang watak utamanya mirip wajah Azmin. Pembongkaran video lucah itu benar-benar mengejutkan Azmin dan juga Hishammuddin. Dan paling mengejutkan sampai tidak terkata ialah Dr Mahathir Mohamad.

Apapun usaha dan rancangan kolaborasi Hishammudin dengan Azmin tidak terhenti di situ sahaja. Keraguan kepada keduanya timbul dalam parti masing-masing. Mereka yang setia kepada parti, baik Keadilan maubpun UMNO marah dan menyifatkan perbuatan Azmin dan Hishammudin itu sebagai pengkhianat dan belot.

Ada yang bimbang dan cemas dengan rancangan untuk bentuk kerajaan dari pintu belakang oleh Azmin dan Hishammuddin itu. Saya awal-awal sudah membaca akan kewujudan naratif baru politik negara ini membabitkan kolaborasi Azmin dan Hishammuddin. Citra ini ada satu nukilkan dalam buku baru saya; PENJARA BUKAN PUSARA - Anwar PM Yang Didambakan.

Sebenarnya mereka yang tahu membilang angka tidak perlu cemas. Usaha mereka berdua itu walau pun mendapat restu Dr Mahathir sekali pun ia tetap tidak akan berjaya.

Dengan mengambil kira semua yang hadir di pertemuan malam tadi sedia dan ikhlas bersama, jumlah MP hanya baharu 27 orang. Angka ini kalau dicampur dengan jumlah kerusi miliki Bersatu kini sebanyak 28 ia baharu jadi 55 orang. Katakan PAS sedia untuk mendukung kerajaan baru itu, dengan mengira 18 orang wakil PAS baru berjumlah 73 kerusi. Katakan Warisan (8) juga bersedia baharu ada 81 kerusi. Apakah dengan jumlah itu mampu untuk mendukung Dr Mahathir kekal sebagai PM kemudian melantik Azmin sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Kita telah tegas berkali-kali, apa-apa motion, atau perubahan dalam Parlimen tidak mudah berlaku sekiranya ia tidak membabitkan ahli Parlimen DAP dan Amanah. Baik kumpulan mendukung Dr Mahathir, atau pun kumplan menyokong Zahid Hamidi mau pun kumpulan menyokong Anwar, mereka tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya wakil DAP dan Amanah tidak bersama mereka.

Dalam kata lain yang menjadi kunci rahsia dan kunci hikmat sama ada untuk mempertahankan kerajaan yang ada hari ini atau untuk membentuk kerajaan baru (secara dari pintu belakang) ia memerlukan sokongan daripada 53 anggota parlimen daripada DAP dan Amanah.

Ertinya mana-mana pihak pun yang cuba membaiki kerajaan yang ada kini memerlukan sokongan DAP dan Amanah. Dan realiti hari ini kesemua ahli parlimen DAP dan Amanah masih jujur kepada janji asal dan mereka setia kepada akad yang dibuat sebelum ini. DAP dan Amanah adalah the king maker.

Makanya, pertemuan di Putrajaya malam tadi tidak memberi apa-apa impak yang perlu dibimbangkan. Ia hanya sebagai pertemuan majlis Aqiqah cucu Azmin ke empat sahaja tanpa ada apa-apa kesan politik menggemparkan. Kegemparan dan rasa takut hanya kepada mereka sedia kala takutkan hantu, di mana bila "terjeropak" dengan tunggul kayu pun mereka sangkakan hantu dan lari lintang pukang.

Kepada Azmin diharap akan mengadakan kenduri lebih besar lagi selepas ini...