Nilai tanah TRX: Tony Pua ‘sekolahkan’ Ketua Pemuda UMNO


Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mendakwa pemimpin UMNO menyalahgunakan angka dan istilah untuk mengelirukan dan menipu rakyat berhubung nilai sebenar hartanah di Tun Razak Exchange (TRX). 

Menurut Tony, dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki bahawa nilai tanah TRX kini berjumlah RM40 bilion dan aset itu boleh dijual untuk membayar hutang 1MDB adalah tidak tepat. 
“Nilai RM40 bilion yang selalu dikaitkan dengan projek TRX adalah Gross Development Value (GDV), ataupun jumlah nilai pembangunan. 

“GDV merupakan angka yang merangkumi segala kos yang diperlukan untuk membangunkan sesuatu projek. ini jauh berbeza dengan nilai aset ataupun keuntungan yang boleh diperolehi daripada projek tersebut.

“Menurut penilaian terkini yang telah dibuat oleh C.H Williams Talhar & Wong pada 29 Julai 2015, aset tanah TRX adalah bernilai RM2.8 bilion sahaja,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini. 

Tambah Tony, nilai berkenaan tidak mengambil kira pinjaman RM800 juta serta pendahuluan sebanyak RM2.8 bilion yang diberikan kerajaan untuk menyelamatkan projek tersebut yang hampir terbengkalai di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN). 

“Oleh yang demikian, sebarang penjualan aset TRX tidak akan dapat menyelesaikan masalah skandal hutang 1MDB sebanyak RM50 bilion akibat penyelewengan dan salah guna kuasa UMNO dan BN,” ujarnya. 

Mengulas lanjut, kata Tony, penilaian terkini tersebut juga tidak mengambil kira fakta bahawa tanah TRX telah dijual oleh pihak kerajaan kepada 1MDB dengan harga begitu rendah iaitu RM230 juta atau RM75 setiap kaki persegi. 

“Maksudnya, aset TRX ini merupakan aset yang dikurniakan oleh pihak kerajaan kepada 1MDB, dan bukannya keuntungan yang diperolehi 1MDB melalui usaha mereka sendiri. 

“Oleh itu, kalaupun aset tanah TRX dapat dijual dengan harga RM40 bilion, seperti apa yang didesak Asyraf, ia merupakan tanah yang sebenarnya dimiliki oleh kerajaan dan rakyat Malaysia, untuk membayar hutang 1MDB,” katanya. 

No comments: