MCA tak laukan apa-apa, hanya jaja isu kaum
Gabungan parti PAS, Umno dan MCA dilihat terus tercari-cari hala tuju atas pentas politik negara apabila terus gagal menjadi pembangkang yang baik.
menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, gabungan itu tidak mempunyai modal menarik pengundi selain terus memainkan isu perkauman.
Tegasnya, ia dapat dilihat apabila pembangkang berterusan menyerang kerajaan termasuklah dirinya dengan isu-isu melibatkan kaum.
“Sudah tentu kepada pengundi Cina, dia (pembangkang) akan cakap saya anti Cina dan kepada pengundi Melayu, mereka akan cakap saya anti Melayu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Pan – Asia E-Commerce Alliance (PAA) ke 60 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan pembangkang khususnya MCA akan memainkan isu perkauman sebagai bahan kempen susulan kerajaan mengurangkan dana ke atas Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Unitar).
Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad turut membuat kritikan terhadap pembangkang yang tegasnya tidak mahu berubah dan masih terbelenggu dengan taktik perkauman.
Dr Mahathir mendakwa pembangkang khususnya MCA menjadikan isu perkauman sebagai bahan kempen mereka.
Katanya, sedangkan ketika beliau menjadi Perdana Menteri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, MCA juga tidak melakukan apa-apa.