Fitnah pembangkang terhadap kerajaan PH semakin menular menjelang PRK Tanjung Piai



(Kenyataan Media Majlis Setiausaha Pakatan Harapan)
Beberapa laporan media yang tidak tepat, malah ada yang palsu; telah disebarkan bagi mempengaruhi pandangan dan persepsi orang ramai, terutamanya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai. 

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam telah melaporkan di muka hadapan kononnya projek RTS akan ditangguhkan selama enam bulan. Berita ini adalah palsu. Hakikatnya, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya membuat pengumuman tentang projek RTS secara rasmi pada pukul 3 petang semalam. 

Sebuah akhbar berbahasa Cina pula melaporkan tentang kajian selidik yang mendakwa bahawa Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah Menteri Kewangan ‘de facto’ dan kononnya pemimpin Bersatu memegang jawatan dalam kebanyakan GLC, di mana terletaknya kuasa kewangan kerajaan. 

Niatnya adalah untuk memperlihatkan kepada pengundi bukan Melayu bahawa Menteri Kewangan sebenarnya tidak mempunyai kuasa dan hanyalah boneka; manakala kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikuasai oleh Dr Mahathir dan rakan-rakan beliau. 

Bagi khalayak Melayu pula, Tun Dr. Mahathir digambarkan sebagai boneka DAP dan Lim Guan Eng. 

Niat di sebalik semua ini ialah untuk menguncupkan sokongan terhadap PH di kedua-dua pihak Melayu dan bukan-Melayu, supaya PH akan berpecah dan hancur. 

Penulisan sedemikian yang dibuat berasaskan unsur-unsur separa benar atau palsu akan semakin menonjol dalam minggu-minggu akan datang, sempena PRK Tanjung Piai. 

Maklumat serong yang dikemukakan sebuah badan pemikir kononnya penstrukturan semula GLC adalah bertujuan memperkukuh kekuatan Perdana Menteri dan BERSATU adalah jelas mengelirukan. Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, proses penstrukturan semula oleh pihak kerajaan melibatkan perubahan agensi merentas kementerian. Contohnya, 

  • Adalah benar bahawa Khazanah Nasional, yang sebelum ini berada di bawah Kementerian Kewangan, kini diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM); namun penulis kajian tersebut telah gagal menyatakan bahawa MOF Inc. masih merupakan pemegang kepentingan terbesar. PNB pula sudah diletakkan di bawah JPM sejak sebelum 2018 lagi. 

  • Sebaliknya pula, Unit Kerjasama Awam (UKAS) serta agensi-agensi pelaksanaan koridor (NCIA, IRDA, ECERDC, RECODA, PERDA dan SEDIA) yang sebelum ini diletakkan di bawah JPM, kini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. 

  • Penubuhan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) adalah bertujuan untuk mengambil alih fungsi-fungsi hal ehwal ekonomi, terutamanya Unit Perancangan Ekonomi (EPU) yang ketika pentadbiran BN diletakkan di bawah JPM. FELDA yang sebelum ini berada di bawah JPM kini diletakkan di bawah MEA dengan tujuan untuk mengecilkan saiz JPM serta mengasingkan seberapa banyak mungkin fungsi-fungsi ekonomi dan kewangan daripada pejabat Perdana Menteri. Ini termasuklah usaha PH memastikan Perdana Menteri tidak menjalankan tugas sebagai Menteri Kewangan; supaya semak-imbang dapat dijalankan bagi mengelak kleptokrasi rejim Najib Razak daripada berulang. 

Perbezaan struktur JPM di bawah pentadbiran Pakatan Harapan boleh dilihat dalam rajah di bawah:

Kerajaan PH telah menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) untuk memastikan pentadbiran setiap GLC dan GLIC lebih telus dan bertanggungjawab. Pelan Anti Rasuah Nasional 2019 – 2023 yang menggariskan 22 strategi dan 115 inisiatif juga merangkumi aspek urus tadbir cekap dan berintegriti GLC dan GLIC. Ini membuktikan pendirian konsisten PH untuk menjaga integriti dan meningkatkan prestasi GLC. 

Majlis Setiausaha PH menyeru supaya orang ramai berhati-hati dalam membuat penilaian terhadap kerajaan PH, di saat media diberikan kebebasan dan tidak lagi dibelenggu atau dikongkong oleh kerajaan. Orang ramai perlu berhati-hati dengan media yang masih dikawal oleh anasir-anasir rejim lama, dan tidak mudah termakan dengan propaganda mereka. 

Kenyataan ini dikeluarkan secara bersama oleh:

YB Dato’ Saifuddin Abdullah  (Ketua Setiausaha Pakatan Harapan) 
YB Datuk Seri Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung Parti KeADILan Rakyat) 
YB Datuk Wira Haji Marzuki Yahya (Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia) 
YB Datuk Wira Haji Anuar Tahir (Setiausaha Agung Parti Amanah Negara) 
YB Anthony Loke Siew Fook (Setiausaha Organisasi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik)

No comments: