Amanah aktifkan jentera pilihan raya Tg Piai
Parti Amanah Negara (AMANAH) telah menggerakkan jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Ia bagi persiapan awal membantu dan memenangkan calon dipertaruhkan Pakatan Harapan (HARAPAN), Karmaine Sardini.
Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa berkata Karmaine yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai adalah wakil kepada setiap parti komponen HARAPAN dan menjadi tanggungjawab mereka untuk turut membantu calon tersebut.
“Seperti pilihan raya sebelum ini, Amanah telah mengaktifkan semua bilik gerakan. Calon itu mewakili kita semua. Kita akan bantu sedaya upaya untuk memastikan sokongan rakyat kepada HARAPAN.
“Amat penting mengembalikan kepercayaan dan keyakinan mereka (rakyat) terhadap HARAPAN di sebalik fitnah yang akan dimainkan pihak tertentu,” katanya dipetik laporan media.
Mujahid sementara itu yakin HARAPAN mampu mengekalkan kerusi Parlimen.
Namun tegasnya ia kini bergantung kepada jentera parti yang ditugaskan memberi keyakinan kepada pengundi di kawasan itu supaya legasi dan visi Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik dapat diteruskan.
PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan pada 16 Nov ini, manakala tarikh penamaan calon PRK itu Sabtu ini dan pengundian awal diadakan pada 12 Nov.
Ia diadakan susulan kematian Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas berikutan komplikasi jantung.