1.Khazanah ertinya harta atau aset. Khazanah Nasional ertinya aset negara. Sebagai ahli parlimen saya minta Kerajaan Persekutuan mencari jalan lain untuk membayar hutang negara sekarang. Jangan cari jalan mudah dengan menjual harta Khazanah Nasional untuk membayar hutang.
2. Pakatan Harapan mengkritik bekas Perdana Menteri Najib dan Barisan Nasional kerana menyebabkan negara memikul beban hutang yang besar akibat rasuah dan salahurus negara. Najib dan BN telah dihukum oleh rakyat kerana itu di dalam Pilihanraya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 yang lalu.
3. Jika Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir sekarang menjual harta-harta Khazanah Nasional untuk membayar hutang sehingga negara kehilangan harta, percayalah rakyat yang melihat dan membuka mata akan menghukum PH dalam Pilihanraya Umum akan datang.
4. Jadi apa yang Kerajaan Persekutuan pelu buat sekarang untuk mengelakkan lebih banyak harta Khazanah daripada dijual? Apakah anggota kabinet yang diketuai Perdana Menteri sudah habis idea sehingga terpaksa mengambil jalan menjual harta negara?
5. Saya mohon Perdana Menteri dan kabinet sekarang membawa perkara mustahak ini kepada Parlimen yang akan bersidang pada 7 Oktober 2019. Beri peluang kepada ahli-ahli parlimen dari kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang memberikan idea dan buah fikiran untuk membantu Pihak Eksekutif menangani isu pembayaran hutang negara yang melebihi satu trilion ringgit angkara salah urus kewangan dan ekonomi serta rasuah dan salahguna kuasa kerajaan BN yang lalu.
6. Untuk sementara waktu, hentikan dulu sebarang langkah untuk menjual lagi harta-harta Khazanah Nasional atau lain-lain syarikat milik kerajaan.
Hassan bin Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
22 September 2019