PERUTUSAN MAAL HIJRAH DARI ANWAR IBRAHIM



PERUTUSAN MAAL HIJRAH 1441H

Peristiwa Hijrah ternyata membawa makna yang cukup besar buat umat. Tatkala kita mengimbau dan menulusuri sejarah terkait hari besar ini, kita juga menginsafi bahawa tekad dan perjuangan untuk mempasakkan sistem pemerintahan yang meletakkan “al-adli wal ihsan” memerlukan komitmen yang jitu dan tegas. 

Perpindahan umat Islam Mekah ke Madinah ternyata membuka lembaran baru dalam sejarah pengembangan agama Islam. Baginda Rasulullah SAW menjadi tonggak kepada penyatuan agung yang membawa kepada penyatuan antara kedua-dua kaum Ansar dan Muhajirin yang akhirnya menjadi titik tolak kepada suatu sistem masyarakat yang berpaksikan keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman. 

Falsafah yang maha agung ini sewajarnya menjadi asas kepada hukum kenegaraan dan tata masyarakat kita, dan mesti didukung dan disemat di dada semua bahawa tidak ada yang lebih mulia dari yang lain, malah yang membedakan adalah tahap taqwa dan amalan kita. Oleh yang demikian segala momokan atau hasutan atau penyeruan kepada semangat kabilah dan faham perkauman sempit wajar segera ditundukkan. 

Negara ini tidak akan bergerak jauh jika hanya sesetengah kelompok dimuliakan, dan jika falsafah yang digagaskan Nabi ini tidak dikembang dan dihayati semua. 

Tatkala Baginda Rasulullah SAW istiqomah menyeru kepada perubahan, pembaharuan, dan sebuah sistem baharu yang memanfaat semua, ada beberapa kelompok di dalam negara ini yang sedang giat menyemai kebencian dan kecurigaan antara kaum. Apakah sebenarnya yang kita hajati dari perseteruan dan adu domba? Apakah kehancuran atau keamanan? Apakah kemakmuran atau kebinasaan? Dengan semangat Maal Hijrah ini, wajar untuk direnung kembali persoalan-persoalan ini. 

Justeru dengan semangat baharu, tekad baharu dan iltizam yang jitu, saya menyeru kepada umat agar pelihara dan lindungi negarabangsa ini dari sebarang cubaan untuk memecahbelah dan mengeruhkan hubungan antara kaum. Negara ini perlu lekas kebah dari barah perkauman dan segera memungkinkan sebuah tatakelola yang bermaruah dan yang tidak menyisihkan sesiapa.

Mewakili keluarga majmuk KEADILAN, saya ucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1441H kepada seluruh umat Islam di Malaysia. 

ANWAR IBRAHIM
31 Ogos 2019.

No comments: