Revolusi Industri 4.0: Malaysia ditinggalkan jika amal perkauman
Malaysia akan ditinggalkan oleh rakan-rakan di Asia Tenggara dari segi kemasukan pelaburan dan peluang pekerjaan sekiranya kembali mengamalkan dasar perkauman sebagaimana yang sedang diperjuangkan dalam kerjasama Umno – Pas.
Timbalan Ketua Penerangan PKR G Manivanan berkata, pekerjaan masa hadapan dalam Revolusi Industri 4.0 tidak lagi berasaskan komposisi hari ini.
Menurutnya, hari ini pun banyak pekerjaan dilakukan secara global, misalnya industri di Eropah menyewa server di China, menggajikan pengaturcara sistem di India dan sebagainya.
Oleh itu, katanya, rakyat wajar dipersiapkan untuk pekerjaan yang ‘buta kaum’ secara atas talian (on line), bukannya menuntut pelbagai perkara yang akan melemahkan daya saing negara.
“Memperjuangkan isu perkauman tidak akan memajukan negara. Kalau Malaysia berhasrat ingin menjadi negara negara maju maka kita perlu kikis pemikiran ke arah itu. Sebab (pada masa hadapan) seseorang yang mahu maju akan dinilai melalui bakat, kreativiti serta keupayaannya (dalam bekerja secara global).
“Politik perkauman jelas bawa kita ke belakang, Umno dan Pas bawa isu ini untuk agenda mereka sahaja.
“Saya rasa mereka juga bukan ikhlas sangat untuk bekerjasama, sebabnya Umno dengan cara mereka dan Pas juga dengan cara mereka.
“Kalau betul-betul mahu bergabung, bubarkan perlembagaan Umno dan Pas, bina satu nama baru serta cipta logo bersama, barulah bergabung namanya,” ujar Mannivanan. – RF8 Media