Melaka laksana biasiswa pelajar cemerlang
Kerajaan Melaka dilapor bakal melaksana Program Biasiswa Pelajar Cemerlang di negeri itu bermula tahun depan
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, peruntukan bagi tujuan itu telah diluluskan. Biasiswa itu jelasnya sebagai inisiatif bagi menghargai pelajar cemerlang.
“Biasiswa ini kita dah luluskan dan ianya akan dilaksanakan pada tahun 2020 bagi pelajar yang cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Dana yang kita kumpul ini adalah hasil kolaborasi daripada kerajaan negeri dan syarikat-syarikat korporat yang sudi menyumbang ke arah pendidikan pelajar.
“Dengan adanya bantuan seperti ini ianya mampu memberi peluang kepada pelajar cemerlang di Melaka malah buat masa ini kita juga ada pelbagai saluran lain dalam membantu pelajar meneruskan pengajian seperti bantuan dana daripada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM),” katanya.
Adly sebelumnya hadir ke sesi soalan terbuka di Townhall 60 Minit Bersama Ketua Menteri yang diadakan di Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) dekat Masjid Tanah baru-baru ini yang dihadiri kira-kira 2,500 pelajar mahasiswa.
Sementara itu, ketika menjawab rancangan kerajaan untuk golongan belia di negeri itu, Adly berkata pihaknya giat menyediakan peruntukan buat golongan itu di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Namun tegasnya fokus kepada dana ini membabitkan program-program yang menjurus kepada kesukanan dan kemasyarakatan.
“Kita harap peruntukan di peringkat DUN ini sebahagiannya diperuntukkan untuk pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi membantu mereka mendapatkan dana untuk mengadakan program-program kemasyarakatan ini.
“Perkara utama yang perlu dipraktikkan pelajar adalah jaringan.Jaringan antara pelajar dan kerajaan amat penting dalam mencapai usaha ini,” Tambah Adly. – Nauza RF8 Media