APA NASIB HISHAMUDDIN BERSAMA UMNO?



Bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin dilaporkan sedang disiasat oleh Lembaga Disiplin UMNO atas dakwaan salah laku.
Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Apandi Ali yang mengesahkan perkara tersebut, bagaimanapun memberitahu, belum ada cadangan atau syor dibuat oleh badan itu kepada UMNO.
“Setakat hari ini belum dibuat apa-apa syor. Selepas selesai siasatan baru kita akan buat syor, jika difikirkan perlu,” jelas Apandi.
Meskipun tidak disebut apa salah laku yang telah dilakukan oleh Hishammuddin, ia dipercayai ada kaitan dengan pertemuannya dengan Tun Mahathir, baru-baru ini.
Selain itu, bekas Menteri Pertahanan itu juga selalu diperkatakan ramai dengan dakwaan sedang dalam perancangan mengatur beberapa Ahli Parlimen UMNO untuk melompat menyertai Bersatu bagi mengukuhkan kedudukan Tun Mahathir.
Beliau didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Azmin Ali, malah pernah didapati bercuti bersama di Marakesh, Maghribi.
Pertemuan dengan Tun Mahathir baru-baru ini, selain dihadiri oleh Hishammuddin, turut disertai beberapa pemimpin Pas dan GPS iaitu parti pemerintah di Sarawak.
Pertemuan itu menimbulkan spekulasi Tun Mahathir sedang berusaha mengukuhkan kedudukannya, walaupun ia sebenarnya tidak perlu sama sekali kerana beliau terikat dengan konsensus untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim selepas kira-kira dua tahun memegang jawatan tersebut.
Jika sudah mahu berundur, untuk apa lagi mengukuhkan kedudukan?
Setiausaha Agung UMNO, Annuar Musa bagaimanapun seperti cuba mempertahankan Hishammuddin dengan mengatakan tiada aduan dibuat kepada UMNO berhubung salah laku bekas Naib Presiden UMNO itu.
Katanya lagi, pertemuan Hishammuddin dengan Tun Mahathir baru-baru ini juga adalah atas kapasiti peribadi dan tidak mewakili parti.
Tetapi, apa pun persoalannya, dengan pengesahan Apandi sendiri bahawa siasatan sedang dilakukan terhadap Hishammuddin, ia menunjukkan gerak-gerak bekas Naib Presiden itu sentiasa dalam pemerhatian kepimpinan UMNO.
Apa lagi, UMNO dan BN yang kini kembali dikuasai oleh Zahid Hamidi dan Najib Razak yang sedang berdepan pertuduhan di mahkamah, kedua-dua jelas tidak mahu wujudnya sebarang hubungan belakang tabir antara mana-mana pemimpin UMNO dengan Tun Mahathir.
Sejak pertemuan Hishammuddin dengan Tun Mahathir juga membuatkan UMNO menetapkan bahawa sebarang rundingan dengan pihak luar hanya boleh dilakukan oleh Presiden UMNO sahaja.
Yang nyata, dengan siasatan terhadap Hishammuddin, gerak-gerak beliau kini jadi terbatas dengan sendirinya.
Apa pilihan Hishammuddin selepas ini?
Mahu terus kekal dalam UMNO?
Jika mahu terus kekal bersama UMNO, Hishammuddin nampaknya tidak ada pilihan lain selain mesti setia sepenuh hati dan tidak lagi cuba melakukan apa-apa yang mencurigakan dengan pihak luar, khususnya Bersatu dan Tun Mahathir di belakang tabir atau secara sembunyi-sembunyi.
Jika itu didapati dilakukannya, pemecatan barangkali hukuman yang bakal menantinya.
Namun, jika benar Hishammuddin memang ada perancangan, sama ada untuk dirinya atau bersama beberapa Ahli Parlimen UMNO yang lain untuk melompat menyertai Bersatu, dengan siasatan Lembaga Disiplin ini tidak mustahil akan membuatkan beliau lebih cepat meninggalkan UMNO.
Apa lagi jika beliau dijanjikan jawatan dan masa depan oleh Tun Mahathir yang sukar ditolaknya.
Bagaimanapun, jika beliau keluar UMNO, maka lengkaplah tiga generasi – Datuk Onn, Hussein Onn dan Hishammuddin yang akhirnya lari meninggalkan medan perjuangan dan mati di luar UMNO. (ShahbudinHusin 01/09/2019)

No comments: