Suratkhabar semakin tidak diminati
Surat khabar tradisional berdepan banyak cabaran dalam era digital selain kekurangan dana dalam usaha mengubah organisasi mereka sebelum ketinggalan zaman.
Percambahan kecerdasan buatan yang semakin meningkat juga menyebabkan bidang kewartawanan berdepan cabaran yang dibawa kemajuan teknologi malah pendapatan iklan semakin berkurangan selain penggunaan media sosial yang meluas menyebabkan industri media cetak semakin suram.
Tabiat membaca juga telah berubah, dengan generasi muda lebih suka mendapatkan berita dalam talian, menarik lebih ramai pengiklan untuk ke medium pilihan mereka.
Ini menyebabkan industri media cetak hilang pendapatan termasuk empat akhbar berbahasa Cina yang dimiliki oleh Media Chinese International, akhbar bahasa Inggeris The Star dan Utusan Malaysia.
Media Chinese International mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM44.3 juta untuk tahun kewangan 2018 dengan perolehannya jatuh 6% daripada RM1.17 bilion kepada RM1.1 bilion.
Sementara itu Utusan Malaysia mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM186 juta bagi tahun kewangan 2019, prestasi buruk organisasi sejak 2012.
Keuntungan sebelum cukai Star Media Group Bhd naik 26.7% kepada RM28 juta dan tawaran skim pemisahan sukarela (VSS) menyumbang kepada pemulihan organisasi berkenaan.
Tetapi banyak organisasi media tradisional kekal pada lingkaran bawah disebabkan oleh penurunan proses penerbitan, pengedaran dan pengiklanan yang lemah.
Organisasi media telah berupaya merombak produk dan kandungan, mengurangkan tenaga kerja dalam operasi mereka dan menawarkan VSS atau rancangan persaraan awal.
Bagaimanapun pengamal media melihat langkah ini sebagai pembetulan jangka pendek dan satu-satunya cara untuk organisasi ini mempelbagaikan sumber pendapatan mereka.
Pensyarah media Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman Chang Teck Peng berkata, kepelbagaian sumber pendapatan adalah cara untuk syarikat media kembali dipulihkan, tetapi ia lebih mudah dikatakan dari dilakukan.
Beliau menambah, kebanyakan syarikat media tempatan telah mencuba pelbagai cara untuk menjana pendapatan.
“Tetapi kaedah dilakukan tidak begitu menguntungkan seperti pengiklanan tradisional,” katanya.
Katanya, kerugian berteruskan akan menjejaskan harga saham organisasi.
“Tekanan terhadap syarikat media yang tersenarai bukan hanya untuk keuntungan tetapi juga harga saham. Jika mereka terus membuat kerugian, harga saham akan jatuh dan mempengaruhi keyakinan pemegang saham.
“Oleh itu mengubah kerugian kepada keuntungan atau mengurangkan kerugian adalah keutamaan bagi syarikat ini. Mereka akan mengurangkan kos sebanyak mungkin termasuk menawarkan VSS,” katanya.