Source: Zukri Aksah
Sebabnya itulah kesan yang dimahukan...
Saya kenal Latheefa, dia dilantik sebagai Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia ketika saya menjadi Exco AMK, sebagai kuota dari PRM selepas penggabungan dengan Parti Keadilan Nasional pada tahun 2003. Che GuBard yang ketika itu turut dilantik sebagai Timbalan beliau pasti lebih mengenalinya.
Bukan sejarah itu yang saya mahu ulas. Namun latar belakang Latheefa mengingatkan saya akan satu ciapan Twitter Dr Syed Husin Ali bertarikh sekitar 2018 yang baru-baru ini, tidak lama sebelum perlantikan Lat sebagai Ketua Pengarah SPRM di"viral"kan semula.
Begini ciapan Dr. Syed Husin,
"Hanya profesional boleh jadi duta n pmimpin glc dll? Apa jadi pd aktivis politik yg tungkuslumus menangkan PH n punya klayakan/kbolehan? Siapa nak tungkus lumus utk pru15 nanti? Hati2 ya!"
Persoalannya, kerja tangan siapa yang mula me"viral"kan semula ciapan ini? Kebetulannya, Syed Husin dan Latheefa kedua-duanya berasal dari PRM. Melihat jarak masa singkat di antara kedua-dua peristiwa ini, saya cuma boleh mengulang kata-kata Syed Husin, hati-hati ya, ada tangan luar parti yang sedang mengorkestra sesuatu dalam Parti Keadilan Rakyat. Ia jelas punya hubung-kait.
Saya percaya perlantikan Latheefa bukan permintaan Azmin Ali, bukan kehendak Azmin, bukan cadangan Azmin, pendek kata ia bukan keputusan Azmin. Tetapi ia dibuat sebegitu supaya ia kelihatan begitu, maka telunjuk geng-geng yang tidak menyokong Azmin dalam Keadilan akan mengarah kepada Azmin, "ini kerja dia, ini kerja kartel." Keadilan adalah parti yang sentiasa membara, secara tersendiri ia adalah kekuatan yang sangat dahsyat... tetapi ia boleh jadi sangat bahaya jika dimanipulasi. Hari ini ada orang luar meniup cerobong menghembus bara itu, ada orang luar mahu parti ini terbakar!
Habis, kalau bukan keputusan Azmin, mengapa Azmin mengiyakan? mengapa Azmin bersetuju? Sudah tentulah bila Azmin bersetuju, geng-geng yang menyokong Azmin dalam Keadilan akan bersetuju sama, dengan rasional masing-masing. Sebab perlantikan Latheefa nampak koheren dengan "fractionize" yang berlaku dalam Keadilan, Latheefa dilihat sebagai geng Azmin. Azmin merasa dimenangkan, dipentingkan oleh Tun Dr. Mahathir dalam pertembungan fraksi ini. Tanpa sedar, Azmin dipergunakan dalam kita ghairah berfraksi, bukan diperguna oleh orang dalam parti, tetapi orang luar, yang bernama Dr. Mahathir bin Mohamad. Tanpa sedar juga Mahathir menjentik reaksi geng yang tidak menyokong Azmin dalam parti untuk menyerang Azmin habis-habisan. Bolehkah anda menjebak kesudahannya?
Kita kena kenal Mahathir, kita kena kenal politik memerintah cara Mahathir. Mahathir memerintah dengan cara mengawal. Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri di bawah Kerajaan UMNO/BN, Mahathir mengawal menteri-menterinya dengan hanya memegang fail, anda faham bukan?
Tetapi bersama Kerajaan PH berbeza, pemimpin PH adalah mereka yang pertama kali jadi menteri, tiada rekod korupsi maka tidak boleh mengguna cara lama, memegang fail dan mengawal. Lalu harus bagaimana Mahathir yang bersifat "mengawal" ini mahu mengawal mereka?
"Devide - Control - Rule" atau Pecah - Kawal - Perintah, itulah caranya. Masalah besar Mahathir ialah sebelum Mahathir dan Parti Pribumi BERSATU Malaysia menganggotai Pakatan Harapan, Pakatan Harapan sudah mempunyai pemimpin tertingginya, pemimpin de facto ketika itu, Anwar Ibrahim, musuhnya suatu ketika, dan permusuhan itulah melahirkan gerakan reformasi. Ketika itu, sebahagian besar kesetiaan pemimpin Pakatan Harapan terarah kepada Anwar (sabar dulu geng Azmin, baca sampai habis).
Mahathir perlu mengubah senario ini, Mahathir perlu membina dirinya menjadi lebih superior dari Anwar, Mahathir perlu mengalih sebanyak mungkin kesetiaan primer pimpinan Pakatan Harapan dari Anwar kepada beliau, kesetiaan sekunder boleh sahaja kepada Anwar sebagai belaian palsu yang tetap memberi kelebihan kepada Mahathir. Peluang untuk Mahathir terbuka luas bilamana Pakatan Harapan menang Pilihanraya Umum 9 Mei 2018 dan beliau diangkat sebagai Perdana Menteri.
Maka Mahathir pun memulakan Rawatan Terpecah (Devided Treatment). Kepada Parti Amanah Negara, hampir kesemua pemimpinnya yang menang kerusi Parlimen dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri, Dato' Raja Kamarul Bahrin turut dilantik sebagai Senator dan diangkat sebagai Timbalan Menteri. Di mata Amanah, ini penghargaan besar dari Mahathir (yalah, siapa sangka Mat Sabu akhirnya menjadi Menteri Pertahanan!). Tetapi di sisi Mahathir, ia cumalah jual-beli kesetiaan. Tidak cukup dengan itu, kalangan Amanah mendesak pula supaya Husam Musa diberi jawatan, alasannya Husam punya kaliber nasional. Mahathir ikut semua, Husam dilantik sebagai Senator dan Pengerusi KADA, bukan Husam sahaja, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz dilantik sebagai YDP YADIM, Mazlan Aliman sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang dan YB Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, tanpa sedikit bantahan pun dari Mahathir. Sebahagiannya mungkin layak, sebahagiannya anda punya jawapan sendiri.
Akhirnya Amanah menjadi sangat taat kepada Mahathir. Sebab itu anda tidak akan dengar respon dari Presiden dan Timbalan Presiden Amanah dalam kes perlantikan Latheefa sebagai KP SPRM. Lebih dari itu, melihat senarai lantikan dari Amanah itu, ia sudah menghilangkan "locus standi" Amanah untuk bersuara. Habis cerita, Amanah berjaya ditundukkan Mahathir, Amanah sekarang bukan lagi Anwarinas, kalau adapun sekunder, utamanya adalah kesetiaan kepada Mahathir.
Kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) pula, Mahathir cuma perlu menyihir mimpi menjadi realiti. Katalah apa sahaja, DAP parti chauvinist, DAP parti cina, DAP parti perkauman, hakikatnya DAP adalah parti politik dalam Malaysia, faham akan demografik Malaysia. Tanyalah pemimpin paling tua yang masih ada dalam DAP seperti Chen Man Hin, Penasihat Seumur Hidup DAP, saya yakin dia pun sudah menerima hakikat yang DAP adalah parti pembangkang seumur hidup. Tiba-tiba menang PRU2018. Bukan sekadar menang, tetapi kepada Lim Guan Eng, diserahkan jawatan menteri paling kanan, Menteri Kewangan! Mahathir tidak kisah dengan isu yang dimainkan oleh PAS dan UMNO, sebab Mahathir sangat kenal kedua-dua parti ini. Kalau DAP pernah bermimpi untuk Lim Guan Eng naik setinggi ini, ia adalah mimpi yang ingat tak ingat sahaja, mimpi yang tak diambil pusing pun... hari ini mimpi itu disihir menjadi realiti oleh Mahathir.
Tentulah DAP menjadi terpana dan terkesima. Mahathir membeli kesetiaan DAP hanya dengan mencipta keraguan, andai Anwar atau orang lain menjadi Perdana Menteri, bolehkah DAP berada sekanan ini dalam kabinet?
Seterusnya kepada Keadilan, bagaimana Mahathir mahu membuat "devided treatment"? Keadilan adalah parti yang paling sukar untuk diurus oleh Mahathir. Pertama kerana Keadilan ada Anwar, kedua Keadilan ada Azmin, ketiga Keadilan parti paling besar, keempat Keadilan punya Ahli Parlimen paling ramai. Anwar kepada Mahathir adalah seperti minyak sawit kepada minyak soya, McDonald kepada KFC, Pepsi kepada Coke, maksudnya ia pertembungan dan persaingan yang tak habis, tetapi kedua-duanya punya kemampuan untuk saling mengganti.
Azmin pula adalah seorang pemimpin berkarakter, tersendiri dan tidak bergantung yang punya "self-esteem" yang tinggi, sedang mengejar "self-actualization." Kedua-dua Anwar dan Azmin boleh menjadi gabungan yang hebat memimpin Keadilan tetapi sifat-sifat berbeza ini jugalah yang melahirkan fraksi.
Fraksi bukan perkara baru dalam Keadilan. Fraksi atau cai telah wujud sejak era saya menjadi Exco AMK, tetapi ketika itu saya menang jawatan Exco tanpa berpihak kepada mana-mana cai. Dalam keadaan paling kritikal pun, seperti dalam Pemilihan Keadilan yang lepas, fraksi tidak mampu membuat parti berpecah. Ini kerana ia bersifat dalaman, tiada gangguan efektif dari anasir-anasir luar. Mahathir melihat ini, melihat dengan ekor mata yang tajam.
Mahathir sudah memanipulasi "fractionize" dalam Keadilan ini sejak awal pembentukan kabinet lagi. Begitu ramai geng Azmin dilantik ke dalam kabinet, sebelum Pemilihan Keadilan, apa tujuannya? Mahathir ketika itu berlagak seperti tidak terlibat, semua jari menuding kepada Azmin, ini perancangan kartel! Apakah perlantikan kesemua geng Azmin ini kerana Mahathir berharap dan bergantung kepada mereka? Mahathir bukan begitu, bahkan Mahathir mahu orang bergantung kepadanya. Pemilihan Keadilan berlalu, walaupun penuh dengan drama pertembungan fraksi, tetapi ia tetap tidak mampu memecahkan parti. Fraksi kekal sebagai bara, Mahathir tidak berpuas hati, Mahathir mahu menyalakan bara itu, Mahathir mahu membakar Keadilan. Penyokong geng Anwar dan geng Azmin perlu dipergunakan sepenuhnya.
Mahathir cuma ada empat pilihan dalam usaha untuk mengawal Keadilan, sama ada memusnahkannya terus, memecahkannya, melemahkannya atau mengecilkannya. Kali ini Mahathir perlu melakukan dari tangannya sendiri. Kita lihat kronologi perlantikan Latheefa sebagai KP SPRM, Latheefa mendapat tahu, Latheefa meletak jawatan sebagai anggota Keadilan, Latheefa dimaklumkan tentang perlantikan (secara rasmi). Apakah Latheefa meletak jawatan sebagai anggota Keadilan atas inisiatif sendiri atau atas nasihat pihak ketiga sebelum makluman perlantikan rasmi dibuat? Strategi ini sangat licik untuk meletak Keadilan sebagai pihak yang tidak perlu dimaklum akan perlantikan ini. Kalau benar, siapa pihak ketiga yang menasihati Latheefa itu?
Ingat... berita yang masuk bukanlah "Latheefa Koya mendapat tahu dia akan dilantik sebagai KP SPRM" atau "Latheefa Koya meletak jawatan sebagai anggota Keadilan untuk dilantik sebagai KP SPRM" tetapi terus "Latheefa Koya dilantik sebagai KP SPRM yang baru." Kerana ia mengejut, maka reaksi yang muncul juga pantas dan panas. Serangan dari geng Anwar terhadap geng Azmin kembali hangat, hanya kerana Latheefa dilihat sebagai orang Azmin, walhal ia bukanlah perancangan Latheefa ataupun Azmin. Geng Azmin turut membuat serangan balas dan tempelakan-tempelakan sinis. Serangan terhadap Mahathir juga dilakukan, bukanlah kerana kuasa melantik itu... serangan lebih menjurus kepada kenapa memilih kartel? Mahathir hanya melihat dengan senyum, bahkan menambah lagi perisa kepanasan dengan kenyataan "muktamad"nya. Mahathir tidaklah terlalu bodoh untuk tidak memahami manifesto.
Mahathir suka dengan situasi ini, ini yang Mahathir mahu lihat, tetapi apa yang Mahathir harapkan lebih dari itu. Mahathir mahu mendengar reaksi Anwar sendiri. Pun begitu Mahathir tidak perlu membalas reaksi ini. Cukup dengan geng Azmin yang akan menyerang Anwar dan Mahathir bertepuk tangan. Ia benar-benar berlaku, walaupun reaksi Anwar cuma mengharap Mahathir memberi penjelasan akan perlantikan itu, di mata geng Azmin, ia seperti mempertikai kredibiliti Latheefa, "orang Azmin" yang dipilih Mahathir. Mahathir cuba mengumpan untuk mengheret perseteruan fraksi dalam Keadilan berlaku langsung di antara Azmin dan Anwar, bukan lagi Azmin dan Rafizi atau sebagainya. Mahathir mahu perseteruan fraksi ini kali ini bukan lagi dikawal oleh Anwar atau Azmin, tetapi oleh beliau sendiri.
Dengan kata lain Mahathir mahu mengawal Keadilan. Membuat tindakan-tindakan yang menghilang kesabaran dan mencipta kemarahan Anwar akan memberi ruang kepada Mahathir untuk membuat perubahan lain pula.
Melayan sebahagian fraksi dalam Keadilan dengan cara membeli kesetiaan oleh Mahathir seperti yang beliau lakukan terhadap Amanah dan DAP, itu secara lateralnya mengecilkan Keadilan, campurtangan Mahathir menyemarak perseteruan fraksi dalam Keadilan akan melemahkan parti ini, bara perseteruan fraksi yang ditiup dari luar hingga menyala apinya akan memecahkan Keadilan, api yang dibiar marak dan membesar akan memusnahkan terus Keadilan.
Ini yang Mahathir mahukan. Tetapi secara jujurnya, apakah ini yang kita, anggota Keadilan mahukan? Kepada geng Anwar, jangan selalu bereaksi secara semberono, jangan kerana kebencian, serangan kita sentiasa tertuju atau dikaitkan dengan seorang manusia,, i.e. Azmin, fahami dahulu ia strategi siapa dan apa kehendak strategi itu. Jangan kita terperangkap dalam strategi itu sebagai bahan.
Kepada Azmin, saya harap beliau sedar bahawa perancangan Mahathir itu besar. Dalam perancangan besar itu Azmin di mata Mahathir bukanlah sosok yang tersangat penting. Kalau Azmin begitu, apa sangatlah Latheefa Koya di sisi Mahathir, kalau bidak di papan catur, Latheefa di tangan Mahathir adalah soldadu yang tidak ralat untuk dipangkah mati bila-bila masa. Saya mohon sangat supaya Azmin teringat untuk berfikir, jika akhirnya Keadilan hangus terbakar, adakah lagi nilai Azmin di pandangan Mahathir?
Satu yang nyata, Mahathir adalah seorang conservative machivellianist, Azmin pula adalah seorang yang non-dependent, keras dan agresif, mengingatkan saya kepada Musa Hitam, Ku Li dan Anwar sendiri... orang-orang yang pernah gagal untuk bekerjasama dengan Mahathir. Adakah Azmin boleh berjaya? Atau apakah Mahathir betul-betul mahukan orang seperti itu?
Sekali lagi, jika Keadilan musnah terbakar, atau berpecah, adakah Mahathir bermasalah untuk memerintah? Saya sudah katakan perancangan Mahathir ini besar. Mahathir pernah bergaduh dengan Ku Li, kemudian bergabung kembali, Mahathir pernah bermusuh dengan Anwar, kemudian bersatu semula. Mahathir berperang dengan Najib, apakah tidak mustahil perang tamat dan mereka berpeluk sekali lagi? Kalau tidak dengan Najib pun, mungkin dengan Zahid Hamidi dan Mat Hassan, apatah lagi Mahathir tidak pernah ada masalah dengan kedua-dua pemimpin Umno ini.
Cubalah cari jawaban, andai ini berlaku, apakah Amanah dan DAP setia dengan Keadilan atau mengikut Mahathir?
Kepada yang mengaku Saya Keadilan, sama ada geng Anwar atau geng Azmin, terutama kalangan pimpinan, saya seru marilah kita kembali ke "drawing board", saya kira kita sudah lari terlalu jauh. Mari sama-sama kita, geng Anwar dan geng Azmin lukis semula bendera Keadilan, adakah berbeza? TIDAKKK! Kita tulis semula alamat ibu pejabat parti, adakah berbeza? TIDAKKK! Kita tulis semula lirik lagu parti, adakah berbeza? TIDAKKK! Kita tulis semula 18 Dasar dan Matlamat Perjuangan Parti, adakah kita berbeza? TIDAKKK!ada banyak persamaan, mulakan semula dari sini...