ROS teliti desakan haramkan Umno
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sedang meneliti memorandum yang mendesak supaya Umno diharamkan kerana didakwa menerima wang daripada 1MDB, kata ketua pengarahnya, Masyati Abang Ibrahim.
“Kita tidak boleh kata ia akan diharamkan atau sebaliknya, kerana kita dalam proses meneliti dahulu.
“Banyak proses yang kita akan lihat, sekiranya ada yang tidak mematuhi akta di bawah bidang kuasa kita, kita akan maklumkan,” kata Masyati yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.
Isnin lalu, Pemuda Pakatan Harapan (PH) menghantar surat kepada ROS mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap Umno, susulan pendedahan SPRM bahawa beberapa cawangan parti berkenaan, menerima wang berjumlah RM212 juta daripada 1MDB.
Ketua Penerangan Pemuda PH Ulya Aqamah Husamudin mendakwa wang yang ingin dituntut SPRM daripada Umno itu, sepatutnya digunakan untuk pembangunan negara dan rakyat sebaliknya disalahguna oleh Umno.
Mengulas lanjut, portal itu turut memetik Masyati sebagai berkata pihaknya sudah menerima memorandum berkenaan termasuk yang diserahkan kepada ROS di beberapa negeri termasuk Kelantan, Perak dan Perlis.
Iklan
Iklan
Katanya, penelitian terhadap memorandum dan dokumentasi berkenaan akan dibuat berdasarkan peruntukan serta bidang kuasa yang termaktub di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan Pertubuhan 1984.
“Kita sudah melihat senarai dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), iaitu termasuk individu, persatuan yang berdaftar serta parti politik. Dari segi parti politik, kita ada menerima beberapa memorandum desakan untuk menyatakan apa tindakan selepas SPRM mengeluarkan senarai terbabit.
“Tindakan kita ketika ini ialah meneliti memorandum berkenaan mengikut bidang kuasa yang diberikan, tidak lebih dari itu. Buat masa ini, kita tidak akan menyatakan apa-apa kerana perkara ini turut berada (dibicarakan) di mahkamah.
“Tiada tempoh masa ditetapkan untuk proses penelitian kerana (kemungkinan) ada lagi perkara (lain) dari masa ke semasa,” katanya. –