Terlalu keras melawan akhirnya Pas bergabung dengan Umno
ULASAN: Maka tidak salah bila mana bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas suatu masa dahulu dan juga Timbalan Pesuruhjaya Pas, selepas dipecat daripada Pas memilih Umno, selepas pembubaran parti Semangat 46 yang beliau sertai.
Kini Pas siang malam berkokok menyatakan perlunya bergabung dengan musuh tradisinya Umno dengan mengenepikan segala prinsip dan sumpah keramatnya.
Termasuk juga Pas meyakinkan ahli bahawa impak ‘Amanat Hj Hadi’ bukan penghalang untuk Pas dan Umno memulakan penyatuan ummah.
Umno mulai bersih
Umno didakwa Pas mulai bersih apabila Najib mengundur diri dan diganti oleh Zahid Hamidi.
Pas menerima pinangan Umno atas dasar ini dan atas dasar dakwah. Pakatan Harapan (PH) mereka dakwa tidak faham apa itu dakwah dan Pas menuduh DAP penghalang kepada seruan dakwah.
Sedangkan dakwah itu sangat luas peranannya. Manakala dalam pemikiran Pas dakwah ditetapkan hanya untuk Umno, bukan untuk DAP dan kaum Cina yang kafir di dalamnya.
Ahli Pas akur
Ahli Pas bertekad untuk akur dan taat serta patuh kepada pendirian terbaharu Tuan Guru Hj Hadi yang dikatakan dinasihati oleh beberapa alim ulama dan profesional dalam Dewan Harian Pas serta Jawatankuasa Politik dan Pilihanraya Pas Pusat. Nasihat mereka menjurus kepada strategi iaitu lebih afdal bertaawun dengan Umno berbanding PH.
Oleh itu, isu Pas pernah menerima duit daripada Umno dianggap ‘tidak salah’ kerana ia digunakan ke jalan perjuangan dakwah dan bukan dibelanjakan untuk membeli kereta, rumah atau melancong keluar negara.
Pas selepas bertaawun itu juga tidak akan berdendam atas penganiyaan yang dilakukan Umno BN kepada ahlinya suatu masa dahulu.
Pas sanggup ketepikan rasa marah atau benci kepada Umno.
Penghalang-penghalang kepada penyatuan antara Pas dan Umno telah pun tiada. Sama ada kembali ke rahmatullah atau keluar dari Pas dan menyertai Amanah.
Sokongan Pas
Pas telah membuktikan dengan sokongannya maka BN berjaya dalam pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, Cameron Highlands dan Rantau. Kejayaan menumbangkan PH adalah bukti keuntungan yang diperolehi oleh kedua-dua parti apabila umat Melayu bersatu padu.
Pimpinan Pas yang sukar menerima Umno akhirnya perlahan-lahan menerima rakan baharu kerana istiqamah kepada Tuan Guru.
Pedulikan kata-kata bekas Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat berkaitan usaha penyatuan Umno kerana waktu itu situasi berbeza.
Kononnya Islam belum terancam tetapi kini Islam terancam dengan Kementerian Kewangan dipegang oleh individu yang dilabel kafir harbi, Ketua Hakim Negara sebelum ini kafir dan Peguam Negara juga kafir serta lain-lain sebab yang menunjukkan Islam terancam.
Banduan jadi PM
Mutakhir ini, Pas mempersoalkan pula kredibiliti Anwar yang pernah dipenjarakan dan berstatuskan banduan yang dianggap akan memalukan Malaysia jika menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri ke 8.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan yang juga seorang peguam berkata demikian ketika berkempen dalam PRK Sandakan beberapa hari lalu. Kononnya, betapa penting Pas melihat seorang perdana menteri mestilah bukan bekas banduan. Beliau juga mempersoalkan cara Anwar menerima pengampunan Yang DiPertuan Agong.
Mungkin Pas beranggapan salah tetap salah dan tidak wajar diampunkan sama sekali biar pun jika Anwar membuka kembali kes liwat beliau maka akan terdedah pelbagai rekayasa dan konspirasi politik.
Oleh itu menuju PRU 15, Pas dengan penuh yakin akan membentuk kerajaan baharu bersama Umno BN. PH dijamin hanya sepenggal memerintah. Walaupun hakikatnya kerajaan sepenggal yang menjadi sejarah adalah pemerintahan Hj Hadi di negeri Terengganu (1999 – 2004) dan PM sepenggal pula ialah Najib Razak.