Najib punca BN kalah di Sandakan – Penganalisis
Seorang penganalisis politik menyalahkan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung prestasi buruk Parti Bersatu Sabah (PBS) pada pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.
Bercakap kepada FMT, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara Sabah mendakwa Najib yang tampil di Sandakan selama sehari, lebih berminat meraih pencapaian politik untuk dirinya sendiri berbanding mengumpul sokongan untuk PBS.
Beliau berkata bekas PM itu hanya bermain dengan slogan “Malu Apa Bossku”, sambil menambah itu mungkin membuatkan PBS kelihatan lebih memudaratkan berbanding yang baik.
“Slogan Najib mungkin tidak membantu sama sekali untuk memberi undi kepada PBS,” katanya, sambil menambah pengundi mungkin diingatkan mengenai kes mahkamah yang sedang berjalan dan menyebabkan mereka tidak mengundi PBS, memikirkan undi untuk PBS akan menjadi undi untuk Barisan Nasional (BN), Umno atau Najib.
Vivian Wong dari DAP, yang memperoleh 16,012 undi, memenangi kerusi Sandakan dengan majoriti 11,521 undi berbanding Linda Tsen dari PBS, saingan terdekatnya dalam PRK 5 penjuru pada 11 Mei lalu.
Undi majoriti untuk Vivian lebih tinggi daripada margin yang dicapai oleh bapanya, Stephen Wong, dalam PRU14, tahun lalu.
Najib menarik perhatian kira-kira 300 penyokong ketika berada di Sandakan pada 10 Mei.
Bagang berkata pengundi pastinya tertanya-tanya mengapa PBS masih bekerjasama dengan BN walaupun telah meninggalkan pakatan itu.
“Walaupun PBS menggunakan bendera sendiri untuk kali pertama selepas sekian lama, persepsinya adalah PBS dan BN masih bekerjasama,” katanya.