Timbalan Ketua Pemuda MCA tak wajar politikkan pemberian biasiswa pada pelajar Palestin


Saya merujuk kepada laporan media bahawa Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong mempersoalkan biasiswa-biasiswa kepada pelajar-pelajar Palestin yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tempoh hari.

Beliau telah dilaporkan berkata, antara lain, Kerajaan Persekutuan sering mengeluh tentang kekurangan wang, tetapi mempunyai wang untuk memberikan biasiswa kepada pelajar-pelajar Palestin.

Nampak gaya, Timbalan Ketua Pemuda MCA tersebut sama ada tidak membaca, atau pura-pura tidak membaca laporan berita mengenai biasiswa ini. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, adalah jelas bahawa biasiswa tersebut adalah sumbangan daripada pihak universiti-universiti swasta, dan bukannya daripada dana Kerajaan.

Amalan menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar antarabangsa bukanlah sesuatu yang luar biasa, di samping biasiswa-biasiswa yang ditawarkan untuk rakyat Malaysia sahaja. Saya menggesa Tan Chee Hiong untuk mengkaji dahulu jumlah biasiswa yang ditawarkan swasta kepada warganegara Malaysia berbanding pelajar-pelajar luar sebelum mengeluarkan kenyataan.

Tambahan pula, dunia mengetahui bahawa warga Palestin adalah antara bangsa yang paling ditindas di dalam dunia ini. Ada sahaja berita tentang kekejaman dan penindasan rejim Zionis terhadap warga Palestin.

Biasiswa yang ditawarkan ini memberi peluang kepada mereka yang layak untuk mendapat pendidikan di Malaysia, negara yang aman jika dibandingkan dengan bumi Palestin. Maka, tiada apa yang perlu dicemburui dengan biasiswa ini.

Kenyataan Timbalan Ketua Pemuda MCA itu tidak lebih daripada percubaan untuk mempolitikkan isu ini.

Sepatutnya usaha murni universiti-universiti ini diraikan dan disokong, bukannya dipertikaikan. Ia selari dengan pendirian Malaysia untuk berdiri teguh bagi menyatakan sokongan kepada Palestin terus mengutuk tindakan zalim rejim Zionis terhadap rakyat Palestin. 

*Syahredzan Johan adalah Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri


No comments: