Malaysia akan guna teknologi Huawei sebanyak mungkin
Malaysia tidak akan meminggirkan Huawei, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Bercakap di persidangan Masa Depan Asia di Tokyo hari ini, Dr Mahathir berkata Malaysia akan menggunakan teknologi Huawei “sebanyak mungkin”.
Menurutnya lagi, beliau tidak bimbang dengan tuduhan risikan itu kerana Malaysia “tiada rahsia hendak disembunyikan”, menurut Nikkei Asian Review.
“Penyelidikan Huawei lebih besar berbanding keupayaan Malaysia. Kami akan gunakan teknologi mereka sebanyak mungkin,” katanya yang sedang dalam lawatan tiga hari ke Jepun, yang keempat sejak menjadi perdana menteri tahun lepas.
Pendirian itu dibuat walaupun Amerika Syarikat sudah menyenaraihitamkan gergasi telekomunikasi itu, malah beberapa negara lain pula sudah mula menjauhkan diri daripadanya kerana wujud dakwaan syarikat itu melakukan risikan bagi pihak China dan dianggap ancaman keselamatan negara.
Peralatan rangkaian Huawei juga diharamkan digunakan rangkaian komunikasi AS.
Baru-baru ini, Google juga menyekat Huawei daripada menggunakan aplikasi Android dalam telefon pintarnya.
Huawei, pengeluar telefon bimbit kedua terbesar dunia sudah menyaman kerajaan AS kerana sekatan produknya.
Pagi tadi, Dr Mahathir dalam ucapan dan sesi soal jawab juga menggesa hubungan perdagangan dengan China ditambah baik dan tidak bergaduh dengan negara itu sebagai cara dunia menangani pentadbiran autoritariannya.