Perutusan Sempena Ulangtahun Keadilan Ke-20
Tarikh ini ternyata bermakna buat pendukung perubahan dan reformasi di mana pada 20 tahun yang lampau lahirnya wahana politik yang diberi nama KEADILAN.
Tidak dinafikan bahawa derita dan jerih payah yang ditanggung di masa lalu, bukan sahaja bagi pihak saya dan keluarga, malah rakyat terbanyak terutamanya, yang terus matang dan setia mendukung dan memungkinkan perubahan yang kita kecapi hari ini.
Benar, usaha dan upaya kita ini tidak terhenti di sini. Malah, ia harus dan wajar diterjemahkan dalam usaha mendirikan semula negara ini yang telah dicurangi sekian lama.
Keangkuhan dan kebobrokan berjaya dihentikan. Ungkapan novelis dan filasuf George Santayana bahawa “mereka yang melupakan sejarah, akan cenderung mengulanginya” ternyata sesuatu yang harus digarap dan ditanggapi oleh semua pendukung keadilan dan kebenaran agar sejarah yang lalu itu menguatkan kita.
Marilah kita rapatkan muafakat dan perkemaskan iltizam dalam usaha menyelenggara semula negara ini dan menyikapi permasalahan rakyat dengan serius.
Keadilan untuk semua.
ANWAR IBRAHIM
Presiden
Parti KeADILan Rakyat