SR dedah bukti bayaran RM1.4 juta, PAS ada peluang saman lagi




Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini boleh sekali lagi menyaman Sarawak Report jika dakwaan terbaharu laman pembocor maklumat itu hari ini didapati tidak benar, tegas seorang peguam.

Ia berhubung pendedahan Editor SR, Clare Rewcastle-Brown menerusi hantaran di blognyabahawa pihaknya menerima bayaran RM1.4 juta daripada Hadi sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman di luar mahkamah pada bulan lalu.

Turut disertakan adalah beberapa gambar salinan dokumen berkaitan, termasuk perjanjian rahsia, sekeping cek Bank Islam dan sepucuk surat kepada Maybank yang mengesahkan wang bernilai RM1.4 juta itu datang daripada Abdul Hadi.


“Kalau apa yang Sarawak Report kata tentang bayaran RM1.4 juta kepada Clare adalah tidak betul, maka adalah terbuka buat pemimpin PAS untuk menyaman Clare di mahkamah sekali lagi,” ujar peguam Syahredzan Johan di Twitter hari ini.

Untuk rekod, Hadi menyaman Clare berhubung dakwaan PAS menerima RM90 juta daripada UMNO.

Bagaimanapun, setelah meminta sumbangan daripada ahli-ahlinya, Hadi mengambil keputusan untuk menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah.

PAS juga menegaskan tiada sebarang bayaran dibuat kepada Clare berdasarkan Perintah Persetujuan (Consent Order) yang direkodkan di hadapan Master Brown di Mahkamah Tinggi London pada 1 Februari lalu, selain kedua-dua pihak bersetuju tidak meneruskan tuntutan dan tuntutan balas masing-masing, mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kepada mana-mana pihak.

Mengulas mengenai perkara itu, Syahredzan berkata, pembayaran berkenaan tidak direkodkan di mahkamah secara khusus tetapi melalui perjanjian rahsia di antara kedua-dua pihak.

“Sebab itu, terma yang direkodkan di Mahkamah adalah ‘upon… confidential terms of settlement’.

“Maknanya, kalau betul, maka persetujuan untuk bayar RM1.4 juta tersebut dipersetujui secara sulit oleh Hadi dan Clare.

“Di mahkamah, apa yang direkodkan adalah ‘tiada perintah dibuat terhadap kos’. Mahkamah tidak perlu buat perintah kos kerana ikut Sarawak Report, RM1.4 juta sudah dibayar,” ujarnya.

Malah, tambahnya, ia menimbulkan persoalan mengapa Hadi bersungguh-sungguh mahu menyelesaikan kes itu di luar mahkamah sehingga membayar jumlah yang besar iaitu sebanyak RM1.4 juta kepada Clare.

“Ia juga timbulkan persoalan, kalau betul apa Sarawak Report cakap, kenapa pemimpin PAS menafikan ada bayaran pada Clare apabila dibangkitkan oleh Anwar Ibrahim,” ujarnya yang juga Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Jelas Syahredzan, Sarawak Report mendedahkan butir perjanjian rahsia itu kerana Hadi mungkir syarat-syarat yang dipersetujui apabila menafikan bahawa ada bayaran yang telah dibuat.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson sebelum ini bertanya kepada PAS sama ada penyelesaian luar mahkamah saman Abdul Hadi ke atas Clare dan Sarawak Report melibatan wang bernilai lebih RM1 juta.

Tidak lama selepas itu, Setiausaha Agung PAS yang juga seorang peguam, Takiyuddin Hassan, mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan tersebut. 


No comments: