KEKALAHAN PH DI SEMENYIH TAMPARAN BUAT TUN M DAN BERSATU





Sebagaimana yang dijangka dan tidak keterlaluan kalau dikatakan turut menjadi keinginan majoriti penyokong PH sendiri, calon Bersatu yang mewakili gabungan parti pemerintah, Aiman Zainali tewas kepada calon BN, Zakaria Hanafi dalam PRK Semenyih, semalam.
Keputusannya memperlihatkan Zakaria memperolehi 19,780 undi berhanding Aiman yang mendapat 17,866 undi. Dua lagi calon, Nik Aziz Afiq Abdul daripada PSM memperolehi 847 undi dan Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang memperolehi 725 undi.
Majoriti kemenangan calon BN dalam PRK ini adalah sebanyak 1,914 undi.
Berbanding keputusan PRU14 lalu di mana calon PH daripada Bersatu, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor memenanginya dengan majoriti 8,964 undi, dalam PRK ini menantunya yang dipilih bertanding telah ditewaskan oleh calon BN dengan kekurangan undi sebanyak 1,914 undi.
Bermakna, hanya dalam tempoh 10 bulan setelah menjadi kerajaan, Bersatu dan PH di Semenyih telah kehilangan sokongan sebanyak 10,878 undi.
Apakah makna keputusan PRK ini kepada PH dan Bersatu?
Pertama, keputusan ini memperlihatkan kerajaan pimpinan Tun Mahathir Mohamad semakin ketara hilang sokongan rakyat, khususnya daripada pengundi-pengundi Melayu.
Dalam PRK ini, PH dianggarkan hanya mendapat sokongan 37.73 peratus pengundi Melayu berbanding 44.25 peratus yang diraih pada PRU14 lalu.
Dalam waktu yang sama, undi Melayu kepada BN telah meningkat kepada kira-kira 59 peratus berbanding 35.33 peratus pada PRU14.
Kemerosotan sokongan terhadap kerajaan banyak disebabkan kekecewaan rakyat kerana banyak janji-janji yang gagal ditunaikan, lebih-lebih lagi alasan Tun Mahathir yang mengatakan “Buku Harapan bukan sebuah kitab suci” dianggap suatu penghinaan kepada rakyat yang telah memberikan undi kemenangan kepada PH.
Kata-kata itu begitu menghiris hati dan perasaan mereka seolah-olah undi mereka langsung tidak dihargai setelah kemenangan berjaya dikecapi.
Paling terkesan dengan kemunafikan janji PH ialah ikrar berkaitan bayaran balik hutang PTPTN di mana sebelumnya dijanjikan hanya setelah peminjam bergaji RM4,000 barulah mereka diwajibkan membuat bayaran balik.
Ekoran kegagalan menunaikan janji tersebut dalam tempoh 100 hari, itulah yang membuatkan sokongan pengundi muda kembali rujuk kepada UMNO dan BN, termasuk sebahagiannya dengan menunjukkan kembali sokongan terbuka kepada Najib Razak yang diketahui sebagai musuh nombor satu kepada Tun Mahathir.
Rakyat juga merasakan bahawa janji -janji selain janji 100 hari dimana Anwar Ibrahim akan dilantik, namun sehingga kini keraguan itu masih lagi menghantui kerana tiadanya tanda tanda bahawa beliau akan dilantik , malahan sikap pecah dan perintah yang diamalkan Mahathir semacam tidak berubah hingga kini.
Selain kegagalan menunaikan banyak janji manifesto, prestasi menteri yang mengecewakan, banyak merapu dan bertelagah sesama sendiri telah menambahkan lagi kekecewaan rakyat serta melunturkan keyakinan mereka kepada kerajaan PH ini.
Sokongan pengundi Melayu pula menurun dengan mendadak terhadap kerajaan berikutan mereka merasakan kerajaan PH ini tiada jaminan dalam konteks melindungi kepentingan orang-orang Melayu dan Islam di negara ini.
Dengan kata mudah, berbanding kerajaan BN sebelum ini yang dilihat sebagai kerajaan Melayu, sebaliknya kerajaan PH ini tidak lagi dianggap sebuah kerajaan Melayu oleh majoriti orang-orang Melayu sendiri. (Saya akan menulis satu artikel khusus berkaitan perkara ini dalam beberapa hari akan datang)

Berdasarkan penurunan sokongan pengundi dan orang-orang Melayu ini, bukan saja PH berdepan kesukaran untuk menang dalam mana-mana PRK di kawasan majoriti Melayu selepas ini, bahkan kata-kata yang mengatakan PH adalah kerajaan sepenggal (saya sudah menulis artikel bertajuk “PH Kerajaan Sepenggal?” sebelum ini) semakin hampir menjadi kenyataan jika langkah-langkah segera dan drastik tidak diambil dengan secepat mungkin.
Kedua, keputusan PRK Semenyih ini juga menunjukkan Bersatu masih jauh daripada impiannya mahu menjadi pengganti kepada UMNO.
Kalah bertanding pada pilihanraya yang pertama ini hanya mengesahkan bahawa Bersatu tidak lebih sebagai “penumpang kelas ketiga” dalam PH dan semakin menyukarkan masa depannya.
Setelah menjadi kerajaan, kedudukan Bersatu dalam PH tidak dianggap sama seperti kedudukan UMNO dalam BN dahulu. Ramai orang Melayu berasa curiga dan was-was dengan perjuangan parti itu dalam melindungi masa depan dan hak-hak mereka lantaran selama sembilan bulan ini penegasan ke arah itu tidak dilihat benar-benar meyakinkan.
Dengan jumlah penduduk Melayu menjangkau 65 peratus, kepentingan dan roh kaum majoriti ini tidak boleh diabaikan oleh mana-mana pihak yang menjadi kerajaan. Mengabaikannya boleh mengancam kedudukan sesiapa juga yang menjadi sebuah kerajaan.
Yang nyata, keputusan PRK Semenyih ini adalah tamparan kepada kedua-dua pipi Tun Mahathir – satu tamparan kepada pipi yang mewakili kerajaan yang dipimpinnya dan satu pipi lagi mewakili Bersatu yang dipengerusikannya.
Meskipun beliau turun berkempen ke Semenyih, ternyata kehadirannya gagal menghalang BN daripada mencapai kemenangan yang tidak dinafikan turut dibantu oleh jenama “malu apa bossku” yang dibawa oleh Najib.
Jika kejayaan BN di Semenyih ini diikuti dengan kemenangan yang hampir pasti di PRK Rantau nanti serta dikira dengan keputusan di Cameron Highlands yang baru lalu, bermakna PH kalah secara “hatrik” kepada BN dalam tempoh beberapa bulan saja.
Siapakah boleh menafikan bahawa “hatrik” itu di samping kemungkinan besar PH juga tidak mampu menang dalam semua PRK lain di kawasan majoriti Melayu selepas ini, semuanya itu adalah suatu alamat tidak baik untuk PRU15 akan datang? (ShahbudinHusin 03/03/2019)

No comments: