Anak muda PH, warga emas BN ‘bersilat’ di Semenyih



Anak muda PH, warga emas BN ‘bersilat’ di Semenyih
Pakatan Harapan (PH) menampilkan anak muda berusia 30 tahun sebagai calon bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih, 2 Mac depan.
Bendahari Bersatu Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali yang merupakan seorang jurutera diumumkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, di Taman Pelangi petang tadi.
Muhammad Aiman yang juga menantu bekas Adun Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Bapa kepada seorang anak itu bakal ‘bersilat’ dengan calon BN, Zakaria Hanafi, 58, yang merupakan bekas Pengerusi Tetap Umno Cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Beranang.
Nama bekas pegawai pentadbir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu diumumkan Pemangku Pengerusi BN, Mohamad Hasan hari ini.
Kerusi Dun Semenyih yang terletak di bawah Parlimen Hulu Langat terdiri daripada 68 peratus pengundi Melayu.


No comments: