ANWAR LAGI SELANGKAH JADI PM, RAFIZI LAGI MUDAH KALAHKAN AZMIN



Semua orang tahu bahawa arkitek atau perancang yang akhirnya berjaya meletakkan Anwar Ibrahim menang dengan bergaya sebagai Ahli Parlimen Port Dickson semalam ialah Rafizi Ramli, bekas Ahli Parlimen Pandan dan Naib Presiden PKR.

Daripada mendesak Anwar perlu segera berada di Parlimen, memilih masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya, menentukan Port Dickson sebagai kawasan pilihan, menyerahkan surat perletakan jawatan Danyal Balagopal Abdullah ke Parlimen, mengatur sidang media berkaitan dengannya dan hampir segala-galanya adalah dilakukan oleh beliau.

Bersama membantunya dengan penuh semangat dan kesetiaan untuk mengembalikan Anwar sebagai Ahli Parlimen ialah Saifuddin Nasution Ismail selaku Setiausaha Agung, Johari Abdul, Abdullah Sani  serta beberapa yang lain lagi.

Sebelum melakukan semua itu, Rafizi sudah pun mengumumkan keputusannya bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR menentang Azmin Ali.

Sesuai dengan usaha meletakkan semula Anwar sebagai Ahli Parlimen adalah untuk membolehkannya menjadi pengganti kepada Tun Mahathir Mohamad, Rafizi tanpa berselindung menyatakan hasratnya bertanding jawatan nombor dua dalam PKR juga tidak lain ialah untuk memastikan kerusi Perdana Menteri itu benar-benar dapat diduduki Anwar kali ini.

Anwar yang telah disahkan menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR, menurut keyakinan Rafizi, akan terhalang atau setidak-tidaknya tergugat daripada menjadi Perdana Menteri jika Azmin terus menjadi Timbalan Presiden PKR.

Digambarkan bahawa Azmin yang sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor, tetapi kemudian dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, meskipun namanya tidak dicalonkan oleh PKR, adalah pilihan masa depan Tun Mahathir untuk mengambil alih teraju kepimpinan negara ini mendahului Anwar yang telah dijanjikan kedudukan itu.

Di suatu ketika ketika Rafizi mengumumkan Port Dickson sebagai kawasan yang akan ditandingi Anwar, beberapa pemimpin PKR menzahirkan perasan sedikit tidak setuju dengan mengatakan perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik parti dan pelbagai hujah yang lain.

Ada juga yang berhujah dengan melahirkan kebimbangan "Langkah Port Dickson" akan menjadi sama seperti "Langkah Kajang" sebelum ini yang akhirnya menemui kegagalan dan menyebabkan Anwar dipenjara dalam kes liwat kedua.

Tetapi, dengan kejayaan cemerlang serta bergaya yang berjaya dicapai Anwar di Port Dickson ini, nama Rafizi yang sedang bersaing rapat dengan Azmin merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, kini secara automatiknya melonjak sama.

Meskipun kemenangan Anwar sebahagian besarnya dicapai kerana usaha gigihnya berkempen dengan mengadakan antara 12 hingga 14 program setiap hari bermula jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah malam, namun yang memulakan segala-galanya adalah Rafizi.

Daripada enam negeri yang sudah selesai mengadakan pengundian, Rafizi memenangi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan, manakala Azmin menang di Pulau Pinang dan Johor.

Daripada 88 cabang yang telah melalui proses pengundian, 51 daripadanya memihak kepada Rafizi dan 37 menyebelahi Azmin.

Dari segi undi pula, walaupun minggu lalu diumumkan Rafizi mendahului Azmin dengan kelebihan 49 undi, tetapi apabila semakan semula dilakukan, Azmin didapati sedang berada di atas dengan kelebihan satu undi. Undi Azmin setakat ini ialah 19,584 dan Rafizi 19,583.

Proses pengundian di seluruh negara akan berakhir pada pertengahan November dan sembilan daripada 22 cabang di Selangor mengadakan pengundiannya hari ini. Lebihan 13 cabang lagi akan menyusul mengadakan pengundian pada 21 Oktober.

Namun, dengan persaingan yang nampak sama rata antara Azmin dan Rafizi sekarang ini, kemenangan cemerlang dan bergaya Anwar di Port Dickson semalam dengan sendirinya menyebabkan nama bekas Ahli Parlimen Pandan itu melonjak tinggi di hati ahli-ahli PKR yang sejak sekian lama mengimpikan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Kemenangan Anwar itu pasti dilihat sebagai strategi bijak yang diatur oleh Rafizi untuk memudahkan lagi laluan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Sudah tentu kemenangan di Port Dickson itu akan diiringi dengan peralihan undi yang lebih banyak memihak kepada Rafizi berbanding Azmin di negeri-negeri seterusnya bagi memudahkan beliau bekerja dan menjadi pendokong yang benar-benar akan berusaha menjadikan kerusi Perdana Menteri dapat diduduki oleh Anwar.

Dalam erti kata lain, kemenangan cemerlang di Port Dickson dengan majoriti 23,560 dan kemampuan meraih 71 peratus undi bukan saja berita gembira yang menjadikan Anwar  hanya selangkah lagi menjadi Perdana Menteri, bahkan juga menjadi laluan lebih mudah untuk Rafizi dalam perjuangannya mengenepikan Azmin.

Kegembiraan Port Dickson tidak membuatkan Azmin gembira sebagaimana Rafizi gembira dengannya. (ShahbudinHusin 14/10/2018)

No comments: