‘Pas, BN sila tumpu PRU 15, biar Anwar menang di PD’
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus diberi peluang untuk menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Pesuruhjaya Majlis Dakwah Negara (MDN) Pulau Pinang, Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata, langkah itu adalah bagi memastikan penjimatan duit rakyat dan tidak disalahgunakan.
“Saya nak cadangkan supaya tak perlu ada pertandingan dalam PRK kali ini. Parti mana pun tak perlu gagah masuk bertanding sama ada Umno, MIC mahupun Pas.
“Bukan kali pertama peratusan rakyat keluar mengundi pada PRK berkurangan. Rakyat juga kurang senang apabila terpaksa berhadapan dengan PRK.
“Beri peluang Anwar menang untuk mengimbangkan liberalisme dalam kerajaan dan duit rakyat tidak dibazirkan serta tidak disalahgunakan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurutnya, biarlah Anwar menang untuk memenuhi impian sebagai Perdana Menteri ke-8.
“Langkah Pas untuk tidak masuk PRK kali ini dianggap bijak kerana mengambil berat soal maruah rakyat.
“Saya yakin selepas Muktamar Pas ke-64 ini, Pas sudah tentu lebih bersedia untuk memberi fokus kepada PRU15 berbanding PRK Port Dickson,” katanya.