‘Mereka cuba halang saya sejak 20 tahun lalu’ – Anwar
Bakal presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun semua orang berhak membuat permohonan semakan kehakiman untuk mencabar peletakan jawatan Datuk Danyal Balogopal Abdullah sebagai ahli parlimen Port Dickson, namun beliau berharap rekod perkhidmatannya akan memenangi hati para pengundi.
Begitu juga, kata Anwar, PAS mempunyai hak untuk meletakkan mana-mana calon termasuk bekas anggota tentera dan seperti mana-mana pengundi yang mempunyai hak untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.
“Dalam (kes) peletakan jawatan itu, Speaker (Dewan Rakyat) telah menerima peletakan jawatan itu.
“Usaha memfailkan permohonan itu adalah untuk menghalang saya kembali. Ini telah berlaku selama 20 tahun tetapi biar mahkamah membuat keputusan,” katanya.
Anwar hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dalam penyelesaian kes saman fitnahnya ke atas bekas calon BN di Permatang Pauh, Mazlan Ismail yang memohon maaf kepadanya.
Mengenai PAS yang akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu, ketua umum PKR itu berkata rekodnya yang berjuang membantu anggota tentera dan veteran mampu membantunya.
“Saya bantah di Parlimen apabila (bekas perdana menteri) Najib Razak mahu membawa sebuah syarikat swasta untuk membangunkan pangkalan dan kem tentera udara di Sungai Besi.
“Ia dalam Hansard dan anggota tentera boleh semak walaupun saya akan terangkan ini kepada para pengundi di sana, mereka boleh nilai rekod saya,” katanya.