Isa Samad tanding bebas: Konspirasi ‘sailang’ Anwar
Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mendakwa penyertaan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson adalah konspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mendakwa, konspirasi ini dilakukan oleh “mereka” yang berada dalam Pakatan Harapan (PH) dan “pemain yang sama” pada 1998.
“Saya melihat perkara ini sudah menampakkan realitinya apabila berlaku pertembungan beberapa penjuru yang melibatkan calon bebas.
“Walaupun pada peringkat awal Umno memboikot proses pemilihan ini, tetapi yang dilihat keadaan pada hari ini menjurus kepada persoalan mengapa Isa Samad mahu bertanding? Dan kenapa pula dia nak bertanding? Atas sifat sebagai apa?,” katanya kepada FMT di ibu pejabatnya, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang mengumumkan akan bertanding pada PRK Port Dickson 13 Oktober ini sebagai calon bebas, semalam.
Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak akan bertanding di PRK Port Dickson.
Pengerusi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dicapai selepas perbincangan antara Umno, MCA dan MIC.
Mengulas lanjut, Abdullah turut menegaskan PKR tidak boleh mengizinkan “sahabat-sahabat” dalam PH cuba mensabotaj atau melakukan konspirasi berkenaan.
“Kita tak boleh mengizinkan ada kalangan sahabat-sahabat kita yang cuba mensabotaj atau melakukan konspirasi untuk menidakkan konsensus ini.
“Ingat, konsensus ini dibuat atas sebab rakyat memberi mandat. Rakyat memberi mandat disebabkan kepercayaan kepada konsensus itu dan konsensus itu tidak boleh dikhianati,” katanya merujuk Anwar sebagai calon perdana menteri ke-8.
Ditanya adakah “pemain yang sama” yang dimaksudkannya itu ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau berkata: “Mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung serta saya akui bicara itu tidak serupa dengan kenyataan yang berlaku dalam gelanggang yang ada.
“Yang saya lihat kesungguhan mereka ini untuk menjatuhkan Anwar nampak ketaraannya,” katanya yang enggan mendedahkan identiti individu tersebut.
Mengulas mengenai tindakan PAS meletakkan bekas pegawai tentera udara, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon mereka, Abdullah berkata ia adalah untuk memecahkan undi kepada Anwar.
“Mengapa nak letakkan leftenan kolonel di situ, sedangkan orang tak kenal? kelihatannya ini untuk mensabotaj undi tentera beri kepada leftenan kolonel ini. Kalau nak tengok rancangan yang mereka lakukan ini, InsyaAllah tak berhasil.
“Yang pertama sekali anggota tentera ini mesti memikirkan masa depan mereka (seperti) siapa yang boleh mengangkat agenda reformasi mereka setelah bersara, keduanya siapa nak memberikan kepentingan kebajikan kepada anggota yang bersara ini, apakah sistem pada hari ini cukup bahawa tentera ini dijaga hak mereka,” katanya.