Tak perlu bayar tol kalau HARAPAN menang


Rakyat Malaysia tidak perlu gusar lagi untuk membayar tol sekiranya Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya mengambil alih Putrajaya pada Pilihan Raya Umum-ke14 (PRU14) ini.
Calon HARAPAN Parlimen P76 Teluk Intan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan baru HARAPAN akan memansuhkan semua tol termasuk Lebuhraya Persisiran Pantai Barat yang mempunyai Susur Keluar Teluk Intan sekiranya berjaya membentuk kerajaan baru.
“Usaha untuk menghapuskan semua tol adalah salah satu iltizam Pakatan Harapan sekiranya berjaya mentadbir Putrajaya.
“Kerajaan Pakatan Harapan akan mendedahkan segala kontrak perjanjian lebuh raya yang disembunyikan UMNO BN selama ini dan mengkaji cara terbaik untuk menghapuskan tol demi meringankan beban rakyatm” katanya dalam satu ceramah megar baru-baru ini.
Nga berkata, pembinaan lebuh raya menghubungkan Teluk Intan dan Kuala Lumpur memang memberi manfaat kepada rakyat namun pelaksanaan kutipan tol telah menyebabkan beban kos hidup rakyat bertambah.
Beliau pada masa yang sama turut mencabar bakal calon BN Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong menyatakan pendiriannya mengenai pemansuhan kutipan tol.
“Sekiranya Mah bersetuju, adakah dia berani mendesak bos sebenarnya iaitu Najib Razak untuk menghapuskan tol atau terus membisu seperti biasa?” soalnya lagi.
Nga yang juga Pengerusi DAP Perak itu turut menyeru seluruh anak rantau di Teluk Intan supaya pulang mengundi pada 9 Mei ini untuk melakukan perubahan.