Sokongan meningkat, BN terdesak tumbangkan Mahathir – Ir Nizar
Pemilihan Tun Mahathir sebagai calon PM Pakatan Harapan (PH) tepat apabila BN semakin terdesak hari demi hari.
Menurut Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, data terbaharu menunjukkan lonjakan pengundi Melayu yang mahu membuat perubahan dalam pilihan raya umum (PRU) 14.
Hal itu, katanya, membuat BN tidak keruan dan mencuba pelbagai cara untuk memusnahkan kredibiliti Tun Mahathir. Antaranya, menurut Nizar, percubaan menggambarkan ‘Tun mengikut telunjuk DAP’ dan ‘Tun sudah tidak memperjuangkan kepentingan Melayu sepenuhnya’ dan pelbagai tohmahan lagi.
“Namun demikian, taktik jahat musuh PH tidak berjaya. Sekarang ramai Melayu sudah bersedia untuk membuat perubahan sehingga terdapat berita bahawa ada peras-ugut terhadap pengundi Melayu yang mungkin hendak mengalih sokongan kepada Pakatan.
“Ini menunjukkan sudah ada tanda-tanda PM Najib akan ditolak oleh rakyat umum termasuk pengundi dari masyarakat Melayu,” jelas Nizar Jamaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering di Perak.
Selain itu, katanya, media arus perdana pula gelabah menunjukkan gambar-gambar PM Najib mendapat sambutan rakyat di mana jua beliau memberi ucapan. Sedangkan, jelas Nizar, ceramah PH mendapat sambutan sama hebat sebagaimana program kerajaan. Rakyat tidak lagi gentar untuk bersama-sama PH di mana sahaja diadakan program.
“Ceramah-ceramah pemimpin PH sentiasa mendapat sambutan yang hangat. Sekarang tumpuan penuh diberi kepada masyarakat Melayu dan seperti saya kata sebelum ini, makin lama pilihan raya umum itu ditunda, Pakatan menjadi semakin kuat kerana rakyat tempatan dan pemerhati politik yang neutral dapat merasakan PM Najib semakin lemah dan tiada halatuju,” ujar Nizar kepada Suara pakatan daily.
Cuma katanya, kebimbangan PH kepada taktik songsang merosakkan imej Tun Mahathir yang dirancang oleh pakar strategi BN. Katanya, pemikiran BN mudah, jika Tun tumbang maka PH akan turut tumbang.
“Telahan itu silap kerana kami di pihak PH memberitahu para pengundi bahawa masa depan negara bergantung kepada kejayaan PH menerajui Putrajaya, bukan bergantung kepada Tun Mahathir seorang,” katanya lagi.