Hampir 800 ‘pengundi hantu’ DUN Nilai berjaya dihalau




Hampir 800 ‘pengundi hantu’ gagal ditempatkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai dan Parlimen Seremban apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 782 nama yang didaftarkan dari senarai pengundi kawasan berkenaan.
ADUN Nilai, Arul Kumar Jambunathan berkata kesemua 787 individu yang didaftarkan tersebut tidak hadir dalam sesi pendengaran yang dijalankan oleh SPR.
Dedahnya, nama-nama meragukan tersebut telah pun dikenalpasti didaftarkan sejak bulan Oktober, November dan Disember 2016 yang dibuat menggunakan alamat yang tidak diduduki oleh mereka.
Lebih mengejutkan, kebanyakan alamat yang digunakan untuk mendaftarkan ‘pengundi hantu’ tersebut beralamatkan alamat rumah pemimpin-pemimpin MCA tempatan.
“MCA adalah sebuah parti yang mengkhianati pengundi-pengundi DUN Nilai dan Parlimen Seremban kerana tindakan pendaftaran pengundi boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya jika bantahan tidak dilakukan atau diterima oleh SPR.
“Nasihat saya kepada MCA adalah jangan setiap kali menggunakan jalan dan cara pintu belakang dan menipu untuk menang dalam pilihanraya!” katanya dalam status Facebook beliau.
Roketkini sebelum ini melaporkan, selain ditempatkan di premis dan rumah pemimpin MCA, sebahagian ‘pengundi hantu’ itu juga didaftarkan di tanah lot kosong dan rumah-rumah tidak berpenghuni.
Setakat ini, sebanyak 782 ‘pengundi hantu’ telah dikenalpasti dan ‘dihalau’ dari DUN Nilai manakala keseluruhan Parlimen Seremban pula mencatatkan jumlah 1,047 senarai nama meragukan. 

No comments: