Apa jadi dengan KPK dan Bandar Baru Dabong? soal Pemuda AMANAH


Satu ketika dahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah pernah berkata bahawa Bandar Baru Dabong yang akan dilaksanakan oleh Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) dengan kerjasama DPS Group of Companies berkonsepkan pembinaan bandar bercirikan konsep Islam serta mengutamakan tuntutan Allah SWT.
Semalam Pemuda AMANAH Kelantan diketuai Hazmi Hasan singgah di Dabong untuk melihat perkembangan projek bandar baharu itu yang telah dilancar sejak 5 tahun yang lalu.
“Saya mencari di mana 48 unit rumah teres kos sederhana rendah, 196 unit rumah teres kos sederhana, 56 unit rumah berkembar, 106 unit banglo dan 20 unit rumah kedai.
“Namun saya gagal menemui kesan pembinaan baru di situ dan tidak ada satu pun pembinaan sedang dijalankan.
“Saya juga sempat bertanyakan penduduk di situ dan mereka mengatakan tidak ada langsung perkembangan projek tersebut.
“Papan tanda projek itu juga telah kosong di mana sebelum ini terdapat papan tanda projek Bandar Baru Dabong,” katanya dalam satu kenyataan yang disebarkan kepada pihak media.
Beliau mempersoalkan inikah lambang kreadibiliti pentadbiran yang lemah dan tidak bertanggungjawab.
“Sejak tahun 2013 tidak ada satu pun projek janji PRU13 telah ditunaikan.
“Dan yang lebih parah apabila projek ini seolah-olah dihentikan,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa sedih melihat KPK yang dikatakan dalam keadaan daif, tidak terurus dan memungkinan syarikat milik kerajaan berdepan risiko gulung tikar pada bila-bila masa sahaja.
“Sebelum ini KPK berjaya membangunkan dan memajukan ekonomi negeri.
“Saya berharap dengan perkongsian ini memberi semangat kepada anak muda di Kelantan dengan tidak membiarkan dan meletakkan masa depan negeri yang kita sayang ini kepada mereka yang hanya pandai berjanji sahaja.
“Kita juga harus menolak pemimpin-pemimpin yang menutup ruang sinergi dan anti kepada kritikan,” katanya.
Menurut Hazmi semua perlu sedar bahawa negeri ini negeri kita semua.
“Jika kamu mahu mentadbir dengan cara satu hala dan tidak suka ditanya, sila berambus dari pentadbiran Kerajaan Kelantan,” katanya.

No comments: