Rakyat P. Pinang lega terima RM700 wang ehsan bantuan banjir dari Kerajaan Negeri




Rakyat Pulau Pinang yang menjadi mangsa banjir terburuk negeri itu November lalu berasa lega setelah kerajaan Pakatan Harapan telah mengagihkan wang ehsan sebanyak sebanyak RM700 Sabtu lalu.
Bantuan itu merupakan inisiatif kerajaan negeri sebagaimana yang diumumkan dalam program “Pulau Pinang Bangkit” dengan peruntukan sebanyak RM105 juta.
Seramai 51,226 mangsa banjir telah memohon bantuan khas tersebut dimana seramai 45,082 pemohon memilih untuk menerima bayaran dikreditkan terus ke dalam akaun bank, manakala seramai 6,144 orang pemohon memilih untuk dibayar tunai.
Pemohon meliputi seramai 5,139 orang dari Daerah Barat Daya; 9,323 orang dari Daerah Timur Laut; 1,289 orang dari Daerah Seberang Perai Selatan; 19,870 orang dari Daerah Seberang Perai Tengah dan 15,605 orang daripada Daerah Seberang Perai Utara.
Jumlah berkenaan merupakan senarai pemohon terkumpul yang berdaftar sehingga 6 Disember lalu.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pemberian bantuan tersebut merupakan hasil daripada pentadbiran CAT; Cekap, Akauntabel dan Telus serta kepimpinan bersih yang mampu memberikan dividen anti-rasuah kepada rakyat.
“Sungguhpun pemberian wang ihsan ini tidak seberapa, pemberian ini adalah paling besar dibayar oleh mana-mana Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.
“Ianya membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sememangnya merupakan sebuah Kerajaan berjiwa rakyat, dengan berkongsikan hasil yang ada untuk meringankan beban rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Pengecualian bayaran air dan cukai pintu
Dalam masa yang sama, rakyat Pulau Pinang juga telah dikecualikan daripada membayar Surcaj Konservasi Air (Water Conservation Surcharge) bagi pengguna domestik selain diskaun sebanyak 50 peratus selama dua bulan manakala pengguna komersil juga turut mendapat diskaun sebanyak 25 peratus.
“Kerajaan Negeri juga melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan memberikan diskaun cukai pintu sebanyak 10 peratus bagi semua hartanah untuk 2018.
“Pemilik rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah kampung tidak perlu membayar cukai pintu dengan diberikan pengecualian istimewa sebanyak 100 peratus untuk 2018,” kata Setiausaha Agung DAP itu.
Menurut beliau, bagi Seberang Perai, pengecualian cukai pintu turut diberikan ke atas skim kediaman bersaiz 700 kaki persegi (luas asal) dan ke bawah dengan harga jualan oleh pemaju sebanyak RM72,500 dan ke bawah.
“Di samping itu, dokumen-dokumen Kerajaan Negeri seperti geran tanah yang hilang atau rosak akibat banjir akan digantikan dengan percuma,” katanya lagi

No comments: