Pas hilang 15% undi Melayu, 80% undi Cina di Selangor – DAP
PAS tidak boleh menghalang Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan seterusnya di Selangor walaupun di bawah senario paling pesimis, kata Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming.
Dalam analisis terakhirnya mengenai “Pertempuran untuk Selangor” dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ong meramalkan tiga senario termasuk yang paling buruk.
Menurutnya, walaupun PH hanya memenangi 35 daripada 56 kerusi, ia masih boleh membentuk kerajaan di Selangor. PH kini mempunyai 44 kerusi, termasuk 13 kerusi PAS.
Beliau menjangkakan sokongan Melayu terhadap PAS pada pilihan raya akan datang menurun antara 15% hingga 25% manakala sokongan bukan Melayu akan menjunam sebanyak 80% di kalangan orang Cina, 60% di kalangan kaum India dan 50% bagi pengundi lain.
Di kerusi yang ditandingi DAP dan PKR, Ong berkata PAS kemungkinan akan berjaya menawan di antara 25% hingga 15% undi Melayu manakala sokongan bukan Melayu kira-kira 1%.
“Perlu diingat sokongan Melayu kepada PAS di Pilihan Raya Kecil Sungai Besar menurun sebanyak 10% daripada 40% kepada 30%. Memandangkan kemasukan Bersatu dalam PH, pengukuhan pimpinan PH dan putusnya hubungan antara PAS dan PKR, tidak realistik untuk berfikir yang sokongan Melayu kepada PAS akan terus menurun pada PRU14,” kata Ong.
Dalam senario kedua, beliau menjangka PH akan memenangi 43 kerusi dengan tsunami Melayu kecil.
Bagaimanapun, dalam kes tsunami Melayu, yang merupakan senario ketiga, PH boleh memperoleh 50 kerusi, kerana Ong berfikir ia tidak mustahil untuk melihat ramai penyokong PAS dan Umno memberi sokongan kepada PH semasa pilihan raya.
“Terdapat banyak tanda yang sokongan keseluruhan Melayu untuk Barisan Nasional (BN) akan menurun dalam PRU14. Impak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan peningkatan kos sara hidup dirasakan pengundi luar bandar dan bandar.
“Sokongan bagi Najib Razak di kalangan orang Melayu jauh lebih rendah berbanding PRU13. Bersatu, yang diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, membolehkan PH menembusi kubu Umno yang sebelum ini tertutup kepada pakatan pembangkang.”
Mengenai sokongan orang Melayu terhadap BN, Ong berkata beliau menjangkakan kehilangan 5% bagi gabungan pemerintah.
Ini disebabkan fakta yang pengundi Selangor lebih canggih.
“Pengundi-pengundi ini lebih menyedari bukan hanya kesan GST, tetapi juga isu lain mengenai tadbir urus yang baik, seperti 1Malaysia Development Berhad dan Felda.”
Bagaimanapun, beliau tidak melihat perubahan sokongan Melayu untuk BN dalam senario pertama.
Dalam senario dua, beliau meramalkan kejatuhan 8% dan 3% dalam sokongan Melayu dan bukan Melayu kepada BN, manakala dalam senario ketiga, di mana tsunami Melayu berlaku, penurunan sebanyak 10% dalam sokongan Melayu dan 5% dalam sokongan bukan Melayu diramalkan.
Ong berkata ia projeksi menunjukkan PAS akan kehilangan kerusi di Selangor selepas PRU14.
“Sebabnya mudah. PAS akan hilang hampir sokongan bukan Melayu, yang penting dalam negeri berbilang kaum seperti Selangor, di mana bukan Melayu terdiri daripada 49% pengundi.
“Dan, ia tidak dapat memenangi sokongan orang Melayu yang mencukupi untuk memenangi mana-mana kerusi negeri.”
Beliau berkata PH berada dalam kedudukan terbaik sekiranya berlaku tsunami Melayu.
Menurut Ong, PH berupaya berkempen untuk mengubah dasar kerajaan persekutuan yang tidak popular di kalangan rakyat, sedangkan PAS tidak dapat melakukan perkara yang sama.
“PAS tidak boleh mengatakan ia akan menjadi ‘kingmaker’ di Selangor kerana ia tidak mungkin menang walaupun satu kerusi.”