Angan-angan Mat Jenin Pas Selangor mahu tanding 42 kerusi Dun, kata Bersatu


Hasrat Pas untuk meletakkan 42 calon bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH) di Selangor dalam menghadapi pilihan raya umum hanya angan-angan Mat Jenin, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor Datuk Abdul Rashid Asari.
Beliau berkata, walaupun dua penggal PH menerajui Selangor dengan kemasukan Bersatu dalam gabungan empat parti itu.PH kini semakin matang dan lebih kuat dari segi sokongan rakyat di negeri itu.
"Usaha dilakukan Umno dan Pas sekiranya mahu bekerjasama merampas Selangor hanya angan-angan Mat Jenin sekiranya Pas mahu bertanding 42 kerusi Dun.
"Kali ini dengan adanya PPBM akan bertambah kuat dan matang PH Selangor. Rakyat Selangor berpuashati dengan kerajaan Selangor yang ada hari ini," ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohd Azmin Ali semalam, berkata, PKR akan berbincang dengan Pas Selangor meskipun Pas negeri itu berhasrat untuk bertanding sebanyak 42 kerusi Dun Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata isu itu dapat diselesaikan dalam bentuk perbincangan. PKR sedia berbincang dengan semua pihak.
Azmin berkata demikian susulan kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi yang mengatakan Pas bersedia bertanding di 42 daripada 56 kerusi Dun Selangor pada pilihan raya umum akan datang. Dipercayai kenyataan Sallehen itu  dibuat ekoran usaha pimpinan utama PKR sebelum ini mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Bagaimanapun Abdul Rashid berkata, walaupun PH Selangor belum mengumumkan secara rasmi pembentukkan struktur kepimpinan PH Selangor tetapi beliau optimis sekiranya ia dibentuk dalam waktu terdekat akan lebih memantapkan lagi PH.
"Apabila PH Selangor ditubuhkan secara rasmi ini akan memantapkan lagi PH.
"Jika berapa banyak kerusi pun yang mahu Pas bertanding kita akan lawan habis-habisan.
"Jika mereka nak berbincang tentang kerusi tidak akan berlaku kerana dalam PH kita ada 'technical committee'untuk membincangkan semua kerusi di Selangor. Ini hanya pandangan peribadi pemimpin PKR.
"Kalau benarlah apa yang digembar gemburkan media dan PKR berbuat demikian (bekerjsama dengan Pas di Selangor) satu tindakan yang saya fikir kurang wajar.
"Walaupun PH belum diluluskan RoS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan) kita sudah ada memorandum persefahaman bersama sebelum buat sebarang keputusan.
"Jika adapun berlaku PKR untuk berunding dengan Pas ia hanya membabitkan di Selangor dan mungkin di negeri lain tidak perlu dilakukan," ujarnya.
Pada pilihan raya umum 2013, Pas meletakkan 21 calon negeri di Selangor dan memenangi 15 kerusi.
Walaupun PKR memenangi hanya 14 kerusi, Pas dan rakan sekutu Pakatan Rakyat lain bersetuju supaya parti itu menerajui kerajaan negeri Selangor.
Ditanya kemungkinan PKR Selangor tertarik dengan blok ketiga Pas dan Ikatan, menjadi faktor penarik kemungkinan PKR Selangor berbuat demikian untuk mengekalkan kerusi sedia ada dan mengekalkan kerajaan Selangor.
"Kalau kita imbas kembali dalam PRU13 lalu banyak kerusi PKR disebabkan bantuan Pas dari segi komitmennya, mungkin PKR merasakan Pas perlu di Selangor untuk PRU14.
"Saya rasa tidak perlu PKR nak rujuk semula pada Pas.
"Pada saya pihak pimpinan tertinggi Pas sudah menolak secara total tidak mahu bergabung dengan kita (Bersatu,AMANAH dan DAP ) termasuk dengan PKR, tetapi kenapa PKR mesti lagi mahu berhubungan dengan Pas?," soalnya.
Ditanya bilakah jangkaan pilihan raya umum akan diadakan? Abdul Rashid menjangkakan ia tidak akan berlaku pada tahun ini.
"Kalau kerajaan Umno-BN nak adakan pilihan raya dalam situasi hari ini ekonomi kurang baik, nilai ringgit merudum, harga barang naik, rakyat sedang marah, saya fikir kerajaan tidak akan laksanakan tahun ini," telahannya.

No comments: