Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Latheefa Koya dilihat amat berang apabila menyerang seorang pemimpin partinya sendiri dengan memuat naik lebih 20 status Facebook dalam tempoh kurang 24 jam setakat pukul 10 pagi hari ini.
Turutan serangan 'posting' tanpa menyebut nama inidividu itu bermula pukul 5 petang semalam dengan lapan kenyataan sepanjang tempoh sejam diikuti 10 status pada jam 4 petang sebelum diakhiri enam hujahnya mulai pukul 12 tengah malam tadi.
Walau bagaimanapun, rata-rata pengguna media sosial itu menyifatkan siri kenyataan peguam tersebut merujuk kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
"Dia masuk (PKR) tunjuk muka lepas PRU12 (Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008). Dia keluar lepas gaduh dari kerja koperat sebelum dia masuk tapi konon berkorban gaji tinggi.
"Sejak dia masuk, dia sudah bergaduh dengan hampir semua pimpinan utama. Dialah krisis," dipetik dari status Facebook Latheefa petang semalam.
Untuk rekod, Rafizi yang mempunyai ijazah kejuruteraan dan juga seorang akauntan bertauliah dalam bidang percukaian meletakkan jawatan dari Petronas pada 30 April 2009.
Selanjutnya, Latheefa mendakwa individu itu sangat disayangi 'satu parti' tetapi beliau pula pada masa ini menganggapnya sebagai 'barah'.
"Ada satu parti sayang sangat dengan budak ni bagai dewa. Saya tawarkan dia kepada kamu. Tolonglah ambillah dia ni.
"Sila lihat apa yang dibuat oleh barah ini sekarang. Dia sedang memaksa parti pecah dua," dakwanya.
Beliau turut menyebut individu berkenaan mempunyai pertubuhan NGO yang kemudiannya menyaksikan orang ramai memberi sumbangan wang.
Walau bagaimanapun, Ketua Biro Undang-Undang PKR berkenaan menganggap kutipan wang itu digunakan untuk memecah-belahkan Cabang parti tersebut
"Sekarang ni guna dia punya NGO - kutip duit pastu - dia guna duit ni untuk memecah-belahkan cabang. Bukan untuk memantapkan parti tapi sebaliknya bagi huru-hara sebagai strategi ponorogo.
"Orang bersangka baik bagi duit - dia jual cerita konon dia sorang pi penjara - padahal dia tak bayar apa-apa kat mana-mana peguam," ujarnya.
Tanpa menjelaskan apa yang dimaksudkannya dengan 'strategi ponorogo', Latheefa terus mengulang kata 'ponorogo' yang difahami umum sebagai nama tempat di Jawa Timur juga nama kawasan di Muar, Johor itu dalam beberapa 'posting' beliau yang lain.
"Orang ini bersama geng ponorogo untuk memecah parti. Dia secara terang-terangan akan melawan DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
"He has lied about figures and he will continue to do so. He is serving his ponorogo master. Watch and see," tegasnya.
Terus mengaitkan dengan 'geng ponorogo', katanya lagi, kelompok 'barah' itu setiap hari berhubung dengan entiti yang tetap enggan dijelaskannya meskipun didesak netizen.
"Dia ni perangai buruk - kalau orang tak terima idea dia, dia akan lompat2, ugut2. Hari2 geng dia berhubung dengan geng ponorogo
"Sejak dia masuk, kita hanya menyaksikan krisis demi krisis hasil keja jahat dia. Jangan lupa dia ni rapat dengan geng ponorogo," ujarnya lagi.
Kartel
Bahkan, Latheefa juga mendakwa 'barah' tersebut mempelopori panggilan 'kartel' yang kemudiannya umum difahami sebagai kelompok dalam PKR yang masih mahu berbaik-baik dengan Pas walaupun telah disingkir.
Bahkan, Latheefa juga mendakwa 'barah' tersebut mempelopori panggilan 'kartel' yang kemudiannya umum difahami sebagai kelompok dalam PKR yang masih mahu berbaik-baik dengan Pas walaupun telah disingkir.
"Dialah yang wujud & popularkan perkataan kartel- padahal sebenarnya siapa tak setuju dengan dia - dia label sebagai kartel. Macam budak-budak.
"Yang sebut kartel memang kena tipu dengan budak kecik ini kaw2. Sebab tu yang bangang takde hujah kecuali ulang fitnah. Takde poin," bidasnya.
Pendirian Latheefa yang menolak pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) turut dilihat terserlah daripada turutan serangannya itu sekali gus menarik komentar penyokong Pas yang juga tidak menyenangi 'posting' tersebut.
"Geng dari Pas yang sokong tiga penjuru dan geng barah ini juga sokong tiga penjuru semua bersembah kepada tuan yang sama - Umno," tuduhnya lagi.
Rata-rata netizen yang meninggalkan komentar di setiap 'posting' Latheefa itu bagaimanapun mengkritiknya dengan antara lain menganggap peguam tersebut sebagai kurang cerdik berpolitik, mahukan jawatan dan menyeru agar mengutamakan parti berbanding emosi sendiri.
Tidak kurang juga yang mempersoal sebab sebenar Latheefa berang benar dengan Rafizi selain ramai dipercayai penyokong Pakatan Harapan menyambut baik tuntutan Rafizi berkenaan keperluan mendesak diadakan kongres khas PKR.
"Kami penyokong penuh perjuangan YB Rafizi kerana beliau pahlawan rakyat. Banyak helah kerajan dibongkar untuk rakyat. Sokong jika YB Rafizi menjadi calon PM," kata Zahar Ha.
Serangan bertubi-tubi Latheefa itu dipercayai susulan kenyataan Rafizi bertajuk 'Anggota KEADILAN Harus Pilih Melalui Kongres Khas' yang mulai diedarkannya sendiri kepada media pada pukul 3 petang semalam.
Turut disenaraikan Ahli Parlimen Pandan itu adalah dua kumpulan pimpinan PKR yang menyokong untuk terus berunding dengan Pas manakala satu blok lagi termasuk dirinya menolak tindakan tersebut sebaliknya mahukan komitmen penuh kepada Pakatan Harapan.
Selain Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali seramai 17 lagi pimpinan terdiri daripada Naib-naib Presiden, Ketua Wanita, ahli-ahli Biro Politik dan ahli-ahli MPP termasuk Latheefa mahu rundingan bersama Pas diteruskan konon mengelak pertembungan tiga penjuru dengan Pas pada PRU-14.
Satu pihak lagi terdiri daripada 22 pimpinan PKR termasuk Rafizi yang menolak rundingan bersama Pas yang di luar Pakatan Harapan itu sebaliknya mahukan pengukuhan bersama rakan-rakan DAP, AMANAH dan Bersatu menjelang PRU-14.