Proton berimej 'China' lebih mahal di pasaran



Dr Rosli Yaakob Dr Rosli YaakobTidak mustahil harga kenderaan keluaran Proton Holdings Bhd khususnya membabitkan model baru di pasaran tempatan akan menjadi lebih mahal bagi memastikan keuntungan kepada Zhejiang Geely Holding Group Co (Geely) dari China.
Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, tidak mustahil Geely meletakkan syarat tertentu kepada Proton antaranya menaikkan harga bagi membolehkan syarikat itu dapat menikmati keuntungan dalam satu tempoh ditetapkan.
“Ketika media melaporkan Geely menarik diri, saya melihat ia hanya usaha mereka bermain tarik tali dan ternyata benar apabila kerajaan menaikkan duti eksais lima peratus untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) bagi memikat syarikat terbabit.
“Hanya selepas itu barulah Geely setuju membeli 49 peratus kepentingan Proton, sekali gus mengumumkan akan mengeluarkan SUV Boyue NL3 untuk dikeluarkan di Malaysia bagi pasaran serantau,” katanya kepada SelangorKini seperti dilapor hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu membolehkan Proton memperolehi keuntungan berganda menerusi pengecualian duti eksais dan kenaikan harga kenderaan seperti dijangka.
Dr Rosli berkata, sebagai pemilik saham baru, Geely sudah pasti mahukan pulangan segera ke atas pelaburannya di dalam Proton.
Selain itu, katanya, kesediaan Geely menyediakan reka bentuk, teknologi dan landasan pasaran kenderaan jenama Proton di peringkat antarabangsa mempunyai kos tersendiri.
“Rakyat kena terima hakikat selepas ini Proton berimej baru iaitu ‘imej China’ dengan harga lebih mahal dan bukan lagi sebagai kenderaan nasional yang walaupun bermasalah tetapi tetap dibanggakan terutama di awal pengeluarannya.
“Di sudut lain pula, kita perlu lihat teknologi China yang disuntik ke dalam Proton adakah kemungkinan lebih bagus kerana sebelum ini memang susah jumpa kenderaan buatan China tersadai di tepi jalan,” katanya.

No comments: