Cikgu jamu gulai lemak kuning buka puasa dengan Kit Siang



HULU LANGAT, 31 MEI: Perbahasan isu berbuka puasa dengan orang bukan Islam tiba-tiba menggamatkan Ramadan di Malaysia tahun ini meskipun perkara itu bukan menjadi kesalahan dari segi moral mahupun syarie.
Bagaimana pun, di saat ada kelompok fanatik mengecam orang bukan Islam meraikan penganut Islam menghadiri majlis berbuka puasa, lain pula yang berlaku di Kampung Jawa baru-baru ini.
Rombongan Jelajah Desa Dusun Tua bersama Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said kelmarin ‘disambut’ dengan gulai ayam lemak kuning, sambal kentang dan sayur campur di majlis berbuka puasa di rumah Tuan Haji Mustari bin Ahmad, 59, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Lui, Hulu Langat.
Sebaik suara azan berkumandang, rombongan DAP, ahli keluarga dan penduduk kampung berjumlah sekitar 23 orang mula menjamah juadah yang disediakan.
Gembira dengan kehadiran rombongan DAP, Haji Mustari berkata ini kali pertama Lim Kit Siang dan Pak Samad bertamu ke rumahnya.
“Saya rasa seronok dia (Lim Kit Siang) datang (ke) rumah saya dengan Pak Samad buka puasa sama-sama,” katanya kepada Roketkini.
Beliau turut berkongsi pandangan terhadap DAP khususnya Lim Kit Siang dan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang di sebalik segala tohmahan buruk ke atas DAP.
“Saya tak ada sangkaan (buruk) apa-apa (terhadap Lim Kit siang).
“Kita dapat tengok dia banyak guna logik dan kuat lawan isu rasuah,” ujarnya.
Pun begitu, Haji Mustari mengakui pernah mempunyai persepsi negatif terhadap DAP sebelum terbentuknya kerjasama Pakatan Rakyat.
“Tapi bila DAP bekerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR), barulah saya nampak keikhlasan (DAP). Apa yang PR buat adalah untuk rakyat.
“Dulu tak nampak, kita ingat DAP ni nak jadi PAP,” katanya menambah apa yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan hubungan eratnya dengan negara China mengundang kerisauan.
Perbualan Roketkini dengan Haji Mustari yang dipanggil ‘cikgu’ oleh penduduk kampung terus rancak, kami bertanya pandangannya terhadap PAS.
Beliau berkata, selepas berpisah dari komponen Pakatan Rakyat, PAS dilihat suka berbuat sesuka hati.
“PAS dulu dengan selepas Tok Guru Nik Aziz sudah jauh beza. PAS dah lain. PAS nampak sombong,” katanya.
Masalah dengan PAS setelah berpisah dari PR bukan sekadar dapat dilihat daripada hubungan antara parti-parti politik semata-mata tetapi turut dizahirkan dengan sikap ‘orang-orang PAS’ yang disifatkan Haji Mustari sebagai ‘fanatik dengan kumpulan’.
“Kalau dia (sekumpulan penyokong PAS) sedang berborak, kita datang, dia senyap.
“Macam baru-baru ni ada kematian, ada orang PAS kata tak payahlah datang sebab (arwah) tak pernah nampak datang masjid,” luahnya kesal dengan perkara itu.
Perbualan Roketkini dengan Haji Mustari malam itu berjaya mencungkil lebih banyak ruang dan sudut pandang kalangan akar umbi yang bersama masyarakat di kawasan luar bandar.
Tambahnya, jika dahulu penduduk kampung yang berlainan ideologi politik boleh sama-sama hidup rukun damai di masjid, sikap fanatik perpuakan yang dibawa golongan tertentu kini telah menyebabkan perpecahan dalam kariah.
“Kena cari orang (pemimpin) yang ada idea, yang baik untuk masyarakat dan negara.
“Jangan cari orang yang fikirkan diri sendiri sahaja,” kata Haji Mustari lagi.