Politik Malaysia gunung berapi, PRU 14 rakyat akan muntahkan lahar
Di sebalik kegembiraan Datuk Seri Najib Razak dan rakan-rakannya atas kejayaan BN memenangi dua pilihan raya kecil 18 Jun lalu, Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) mendakwa bahawa mereka terlupa ada ‘bom jangka’ yang bakal ‘meledak’ dalam pilihan raya umum ke-14.
Ketua GKCM Kamarul Azman Habibur Rahman mendakwa majoriti rakyat Malaysia memandang kemenangan BN dalam pilihan raya kecil itu sebagai “sesuatu yang mengecewakan mereka”.
Justeru katanya rakyat menanti-nanti kedatangan pilihan raya umum ke-14 ‘untuk mengajar BN’.
“Amarah ini akan menjadi seperti gunung berapi yang menanti saat untuk memuntahkan laharnya.
“Jika Najib dan rakan-rakannya berasa yakin dengan masa depan mereka selepas kemenangan dalam dua pilihan raya kecil yang baru berlangsung, ingatlah bahawa ia tidak menjanjikan apa apa,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.
Kamarul Azman mendakwa bahawa kejayaan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar juga menjadikan Najib dan rakan-rakannya “bongkak dan rakus”.
Kamarul Azman membuat kenyataan itu ekoran keputusan Majlis Tertinggi Umno memecat keahlian Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada parti itu.
Pemecatan dibuat ekoran kedua-dua tokoh itu didakwa berkempen bagi pihak pembangkang.
Keahlian naib presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula digantung sehingga jawatankuasa disiplin Umno menyiapkan laporan mengenainya.
Ketiga-tiga mereka adalah antara tokoh paling lantang mengkritik kepimpinan Najib sebagai perdana menteri dan presiden Umno.
Menurut Kamarul Azman, keputusan MT Umno itu juga dianggap GKCM sebagai tragedi paling malang dalam lipatan sejarah parti.
Sejak penubuhan Umno pada 1846, katanya, pelbagai cabaran dilalui parti berkenaan, seperti peletakan jawatan presiden pertamanya, Datuk Onn Jaafar, pengharaman parti pada 1988 dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim 10 tahun kemudian.
Kata Kamarul Azman pemecatan tersebut adalah “paling ganjil dalam Umno” serta mana-mana parti politik di dunia.
“Belum pernah berlaku seseorang yang dipecat (atau) digantung keahlian (mereka) adalah yang bersuara tentang salah laku pemimpin dan bukannya terhadap pemimpin yang melakukan salah laku.
“Ini merupakan satu perkara yang akan ditertawakan oleh seluruh dunia,” katanya.