TAK CUKUP SEKADAR TIDAK BERMUSUH, TUN M PERLU SEGERA BERDAMAI SECARA TERBUKA DENGAN ANWAR


Di bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan ini, pengumuman Tun Mahathir Mohamad bahawa beliau tidak lagi bermusuh dengan Anwar Ibrahim tentunya sesuatu yang menggembirakan sesiapa jua yang cintakan perubahan.

Menurut bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu kepada Al Jazeera, "saya tidak lagi bermusuh dengan Anwar, itu semua adalah masa lalu.

"Dia sekarang ditahan di penjara pun bukan kerana saya, tetapi kerana Najib."
Walaupun mungkin Anwar, Dr Wan Azizah, Nurul Izzah, ahli keluarga dan ramai penyokongnya yang lain masih terguris hati dengan apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir dalam episod hitam 1998 yang lalu, yang harus disedari juga ialah bukan saja pemenjaraan sekarang tiada kena mengena dengan Tun Mahathir, malah kegawatan kronik dalam negara sekarang amat memerlukan penyatuan kedua-dua tokoh tersebut.

Melihat kepada apa yang sedang berlaku dalam negara di bawah Najib sekarang, mesej penyatuan semula dan saling bermaaf-maafan antara Tun Mahathir dengan Anwar tidak mustahil akan mewujudkan gelombang yang lebih baik dalam sokongan rakyat ke arah perubahan.

Kedua-duanya, Tun Mahathir dan Anwar, walaupun salah seorangnya berada di penjara, tetapi penyatuan hati mereka bakal mampu menarik sokongan rakyat pelbagai kelompok, apatah lagi melihat keadaan dalam negara yang begitu terancam dan memalukan di mata dunia sekarang ini.

Sebelum ini, program Selamatkan Malaysia yang ditunjangi oleh Tun Mahathir, di sebalik mendapat sokongan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dan pelbagai ketua masyarakat sivil, bukan saja Anwar terus melahirkan kebimbangan melalui surat yang ditulisnya dari dalam penjara, malah Dr Wan Azizah, Nurul Izzah dan mereka yang pro keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut mengasingkan diri daripadanya.

Ini menjadikan seolah-olah Pakatan Harapan sendiri tidak memberi sokongan yang padu kepada agenda untuk menyelamatkan negara dan menyingkirkan Perdana Menteri, Najib Razak.

Blog ini sendiri pada 17 Mei lalu pernah menyarankan tentang perlunya Tun Mahathir dan Anwar segera bersatu dan berhenti mengungkit kesalahan serta menuding antara satu sama lain, jika benar Najib yang ingin ditumbangkan.


Maka itu, sebaik  Tun Mahathir sudah mengatakan beliau tidak lagi bermusuh dengan Anwar, suatu pertemuan antara beliau dengan keluarga Anwar seharusnya dapat segera diadakan dalam tempoh terdekat ini.
Anwar sejak dulu lagi sering mengatakan sudah memaafkan kesalahan Tun Mahathir terhadapnya. Ketika bekas Perdana Menteri itu melancarkan gerakan Deklarasi Rakyat baru-baru ini pun, Anwar pada awalnya secara terbuka menyatakan sokongan dan menyebut tiada dendam peribadi antaranya dengan Tun Mahathir.

Hanya dalam surat yang ditulisnya saja Anwar meminta pimpinan PKR agar berwaspa dengan agenda Tun Mahathir, itu pun barangkali setelah melihat bekas Perdana Menteri itu dalam interbiu dengan media asing masih menyebut mengenai kesalahan masa lalu bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipecat itu sambil menanggapi Anwar mungkin sudah terlalu tua untuk menjadi Perdana Menteri.

Serangan berterusan Tun Mahathir itu tentu saja menyinggung Anwar yang menderita dalam penjara, lalu merangsangnya menulis surat kepada pimpinan PKR yang bukan saja mengingatkan agar berwaspada, tetapi juga menyebut beberapa perkara yang dilihatnya sebagai kesalahan pentadbiran masa lalu bekas Perdana Menteri itu.

Tetapi keputusan pilihanraya Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini jelas memperlihatkan Tun Mahathir perlu berbaik-baik semula dan bersatu dengan Anwar untuk melonjakkan sokongan rakyat menolak Najib.

Sebagaimana pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan sudah melupakan derita dan sengsara pernah dipenjara ketika Tun Mahathir berkuasa dan kini sanggup bergandingan tahun demi Malaysia, Dr Wan Azizah, Nurul Izzah dan lain-lainnya juga harus sama-sama berjiwa besar.

Menunjukkan jiwa besar, apatah lagi untuk kepentingan negara, akan menjadikan sesiapa yang berbuat demikian lebih dihormati dan disanjungi.

Najib dengan segala kelebihan jentera kerajaan, kuasa dan wang tanpa had, bukan semudah itu mahu dikalahkan.

Penyatuan semula Tun Mahathir dan Anwar untuk menghadapi PRU 14 adalah berita baik untuk rakyat, namun tentunya dalam waktu yang sama khabar menakutkan buat Najib. (SH 24/06/2016).