Kembalikan maruah Malaysia melalui urustadbir baik – Mat Sabu
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mengarahkan ahlinya agar terus memperjuangkan konsep ‘good governance’ dan menterjemahkan konsep ‘Islam rahmat untuk semua’ di alam realiti.
Dalam satu kenyataannya, Mohamad berkata, Maqasid Syariah perlu terus diperluaskan dan diperbincangkan sehingga ke peringkat perlaksanaan.
“Di Malaysia, soal good governance makin jauh ke belakang. Sekarang Malaysia makin dihina kerana rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemerintah. Kenapa rasuah tidak menjadi isu utama kepada umat Islam?” soal beliau.
Katanya, Ketua Menteri Pulau Pinang mungkin boleh didakwa di mahkamah jika kerajaan ingin melakukannya.
Kakitangan Pejabat Menteri Besar Selangor boleh didakwa di mahkamah jika pemerintah mahu berbuat demikian, katanya.
“Tetapi, bolehkah pihak pemerintah mendakwa Perdana Menteri yang mengaku menerima 2.6 bilion?
“Peguam Negara, polis dan SPRM menjadi mangsa sebelum tindakan dikenakan terhadap orang nombor satu negara itu,” katanya.
Oleh itu, katanya, parti Amanah memperjuangkan bahawa tiada pilih kasih dalam perlaksanaan undang-undang sama ada terhadap golongan bangsawan, pemerintah, ataupun rakyat biasa.
Ia sesuai dengan Sabda Rasulullah bahawa; “Demi Allah yang jiwaku ada di tanganNya, seandainya Fatimah putri Muhammad mencuri niscaya aku memotong tangannya.” (Bukhari dan Muslim), katanya.
“Anggota Amanah jangan ragu atau terpanggil dengan seruan-seruan lain. Terus melaksanakan perjuangan Islam Rahmat Untuk Semua dengan good governance menjadi idaman kita.
“Terus bersama dengan rakan-rakan kita dalam Pakatan Harapan untuk membina Malaysia baru akan datang supaya kita berupaya menterjemahkan konsep Islam Rahmat Untuk Semua. Maqasid Syariah perlu terus diperluaskan dan diperbincangkan sehingga ke peringkat perlaksanaan,” katanya.