HIDUP MELAYU PAS UMNO



Selama ini, Pas selalu berbangga dengan perjuangan Islam yang dibawanya dan menolak sama sekali sebarang bentuk pengagungan terhadap bangsa.

Bagi Pas, perjuangan mengenai bangsa adalah assabiyah dan tidak termasuk dalam senarai yang dibenarkan oleh Islam.

Malah, kerap juga kita mendengar, di akhirat nanti yang ditanya malaikat ialah keIslaman seseorang dan bukan sama ada seseorang itu Melayu, Cina, India atau  sebagainya.
Sebab itu, jubah dan kopiah putih adalah tradisi pakaian yang amat dibanggakan dalam Pas kerana ia dilihat lebih melambangkan keIslaman yang tiada tolok bandingnya berbanding berbaju Melayu dan bersampin.

Tetapi sejak berbaik-baik dengan UMNO, Pas nampaknya sudah mula berbeza.

Buat pertama kali di Muktamar Pemuda Pas yang berlangsung di Kelantan, ciri-ciri pakaian Melayu telah ditampilkan. 
Pimpinan Pemuda Pas, Nik Abduh Nil Aziz dan lain-lain barisan kepimpinannya tampil segak dengan pakaian seperti pahlawan Melayu, siap dengan tanjak dan keris terselit di pinggang.

Mujur tidak ada adegan cium keris, kalau tidak, sebiji macam Pemuda UMNO.

Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Pas yang menjadi perasmi muktamar juga hadir lengkap sepersalinan bak Pahlawan Melayu zaman dulu-dulu.
Sebelum ini, jika kita masih ingat,  Hadi Awang juga rela berpakaian Melayu merah jambu sedondon dengan Najib Razak di sebuah majlis multaqa ulama sedangkan selama ini pakaian yang menjadi kebiasaan Presiden Pas ialah jubah yang kerapkali  dipakai bersama kot berwarna gelap.

Apa sudah jadi kepada Pas sebenarnya? Kenapa baru sekarang mahu menunjuk ciri-ciri keMelayuan sedangkan berpuluh-puluh tahun lamanya hanya ciri Islam yang ditekankan?

Apa tujuan perubahan ke arah Melayu ini dilaksanakan? 

Tidak memadaikan dengan Islam saja dijadikan modal dendangan dalam perjuangan, lalu soal bangsa juga mahu diheret sama?

Apakah Pas akan mula menyeimbangkan resepi  agama dan assabiyah dalam hidangan perjuangannya selepas ini atau sewalnya bermula di Sungai Besar dan Kuala Kangsar?
Mungkinkah selain Allahu Akbar, kita juga bakal mendengar laungan Hidup Melayu di mana-mana program Pas tidak lama lagi?

Akhirnya, mana satu slogan yang betul - "Pas ganti UMNO" atau "Pas bersama UMNO?" (SH 31/05/2016).