Pengantar Dwi bahasa: ‘Pelajar hadapi krisis penguasaan ilmu’ – Profesor
Langkah kerajaan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sejak 2003 melahirkan generasi pelajar yang ramai tidak menguasai bahasa dan ilmu dalam bidang berkaitan.
Ahli akademik, Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud berkata, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah kebangsaan selama sembilan tahun itu mengakibatkan majoriti penuntut keliru kerana penguasaan ilmu sains dan bahasa adalah dua perkara yang jauh berbeza.
“Pengalaman saya di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (di Universiti Kebangsaan Malaysia) mendapati bukan sedikit pelajar kita mengalami krisis penguasaan ilmu.
“Mereka yang melalui PPSMI, ramai yang Sains tidak pandai, bahasa Inggeris pun ke laut – tak pandai. Mereka tak tahu konsep sains sama ada dalam bahasa Melayu apa lagi dalam bahasa Inggeris. Ini amat merugikan anak bangsa kita,” ujarnya dalam tunjuk perasaan di hadapan stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur semalam.
Katanya lagi, DLP secara tidak langsung menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi hampir kesemua mata pelajaran di sekolah.
“DLP lagi teruk daripada PPSMI yang sudah diumumkan mansuh mulai tahun 2012 lalu.
“Kalau PPSMI ‘kacau’ dua mata pelajaran saja (Sains dan Matematik), DLP bermula dengan empat subjek termasuk Rekabentuk dan Teknologi Maklumat.
“Akibatnya, di peringkat menengah nanti, hanya tinggal beberapa kerat saja subjek di sekolah diajar dalam bahasa Melayu.
“Inilah saya katakan agenda tersembunyi di sebalik DLP. Kalau benar bagus matlamatnya kenapa tak dilaksana di SKJC (Sekolah Kebangsaan Jenis Cina),” bidasnya.
Sementara itu, Bekas Timbalan Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raof Hussin tindakan Kerajaan Persekutuan melaksanakan DLP di sekolah kebangsaan tetapi mengecualikan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) akan merenggangkan hubungan kaum di negara ini.
“Terus terang saya kata, ia bertentangan dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan,” katanya.
Abdul Raof yang kini Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia turut menambah, dasar DLP sememangnya akan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi merosakkan bahasa lain termasuk bahasa Malaysia.
“Sebelum ini kita mahu memartabatkan bahasa Melayu, mempertingkatkan bahasa Inggeris dalam Pelan Rancangan Pendidikan Malaysia.
“Dengan wujudnya DLP, ia akan menjadi terbalik. Ini kerana kita akan meningkatkan bahasa Inggeris, tetapi melingkupkan subjek lain. Kalau begitu, kita memartabatkan bahasa Inggeris sahaja dan memperlekehkan bahasa Melayu,” sindirnya lagi.
Sasterawan Negara, Baharuddin Zainal (Baha Zain) pula melahirkan rasa kesal beliau kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana enggan mengadakan sebarang pertemuan dengan kumpulan berkenaan.
“Tolong sampaikan salam kepada perdana menteri dan Menteri Pendidikan Datuk Mahdzir Khalid. Kenapa tidak berani jumpa kami kalau yakin semua itu untuk kepentingan rakyat?” soalnya.
Baha Zain telah dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara ke-12 pada 2013.
Perhimpunan bantah DLP itu turut dihadiri beberapa aktivis dan ahli politik antaranya Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Idris Ahmad dan pemimpin Angkatan Muda KEADILAN. Selain tokoh ABIM, PKPIM dan lain-lain.
Demonstrasi yang bermula pada jam dua petang itu berakhir dengan aman pada jam empat petang.