Mohd Amar, Takiyuddin perlu bertanggungjawab





KOTA BHARU - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musamenyarankan dua individu penting dalam perlaksanaan hukum hudud di Kelantan bertanggungjawab kerana hingga kini gagal membawa usul pindaan Akta 355 ke Parlimen.
Husam berkata, dua individu terbabit, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
Menurutnya, kedua-dua mereka perlu bertanggungjawab dengan melepaskan jawatan masing-masing sekiranya gagal memberi penjelasan.
“Saya mahu tiga individu itu dengan dikecualikan Presiden supaya bertanggungjawab dan harus memikul bebanan ini. Takiyuddin kalau tidak boleh jelaskan perkara ini boleh berhenti, letak jawatan kerana dia kena bertanggungjawab. Datuk Nik Amar kalau dia terbabit dia mesti letak jawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff pada Forum Akta 355 dan Hudud di Malaysia di Tunjong Banquet di sini, malam kelmarin.
Selain Husam turut menjadi panel forum itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara ( Amanah) Kelantan, Che Ibrahim Mohamed, Ketua Exco Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wan Ji Wan Yusoff dan pakar undang-undang yang juga ahli DAP, Prof Dr Abdul Aziz Bari.
Mohd Amar merupakan Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah manakala Takiyuddin merupakan Ketua Sekretariat Tetap Hudud Negeri.
Terdahulu Husam yang juga Adun Salor mendakwa matlamat melaksanakan hukum hudud di Kelantan hanya mainan politik Pas dan Umno.
Menjelaskan dakwaan itu, Husam berkata, pada 18 Mac tahun lalu terdapat seorang wakil kerajaan Pusat datang ke pejabat kerajaan negeri untuk memaklumkan usul berkenaan boleh dibawa ke Parlimen dan meminta Presiden Pas ketika itu membawa usul itu dengan serta-merta.
“Yang datang 18 Mac adalah wakil sorang menteri bawa cadangan serta merta, perkara itu tidak dimaklumkan kepada Pas Pusat dan dua individu tersebut terbabit dengan perbincangan itu adalah mungkin Datuk Mohd Amar dan Datuk Takiyuddin.
“Saya sempat berjumpa presiden di rumahnya dan beliau (Abdul Hadi) memberi keyakinan bahawa Kerajaan Pusat mengatakan usul tersebut boleh dibentangkan di Parlimen pada April (2015).
“Bagaimana agenda sebesar itu hanya dibincangkannya dengan tiga orang sahaja dan akhirnya hari ini kita tidak dengar apa-apa. Sudah jelas yang menentukan perkara ini bukan Pas Pusat sebaliknya tiga individu berkenaan,” katanya.
Dalam sidang medianya, Husam berkata, dengan menggunakan modal hudud, Umno berjaya memecahkan Pakatan Rakyat sekali gus merencatkan usaha pembangkang untuk menawan Putrajaya.
Malah, beliau tidak menolak negeri dimiliki pembangkang seperti Kelantan boleh terlepas setelah pergolakan dalaman yang menyaksikan Pas terpaksa bersendirian.