Rakyat berhak persoal kepincangan pengurusan kewangan Tabung Haji


Dr-Ariffin-Omar-480x300
KUALA LUMPUR 31 JAN: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Senator Dr Ariffin Omar hari ini menegaskan, rakyat khususnya pendeposit berhak mempersoal pengurusan kewangan Lembaga Tabung Haji, lebih-lebih lagi apabila wujud kepincangan ketara.
“Lembaga Tabung Haji adalah badan berkanun kerajaan. Salahkah kalau kita mahu ia diurus dengan baik?
“Orang DAP pun ada Melayu dan Islam, jadi di mana salahnya? Saya ahli DAP dan sebagai pencarum, adakah saya tidak berhak persoalkan ke mana dan bagaimana wang saya diurus?  Apa salahnya jika saya persoalkan?” katanya kepada Roketkini.
Baru-baru ini, Timbalan Bendahari Agong DAP, Nga Kor Ming mencadangkan supaya audit bebas dibuat untuk menjamin supaya wang simpanan lapan juta umat Islam di Tabung Haji, terjamin dan tidak terjejas.
Sebaliknya, Ketua UMNO Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dengan nada perkauman sempit memberi amaran kepada DAP supaya tidak mencampuri urusan pengurusan kewangan Lembaga Tabung Haji sekalipun umum mengetahui institusi itu mengalami kerugian besar.
Kesal atas dakwaan yang mengaitkan DAP dengan sentimen perkauman semata-mata kerana membuat teguran,  Dr Ariffin yang menyifatkan tohmahan Syed Ali sebagai songsang, berkata, tindakan segera perlu diambil sebelum Tabung Haji menanggung kerugian lebih besar.
“Mengapa Syed Ali perlu mainkan isu perkauman? Saya pun, sebagai ahli DAP dan mencarum di Tabung Haji. DAP bukan parti kaum atau agama,” katanya kepada RoketKini.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa pula menuntut pentadbiran Tabung Haji supaya memberi penjelasan sama ada institusi berkenaan mampu membayar dividen dan bonus kepada pendeposit.
Beliau berkata, ia berikutan kecenderungan pentadbiran Tabung Haji menggunakan rizabnya untuk membayar dividen sejak 2012 menjejaskan paras simpanan pendeposit.
Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendedahkan nilai rizab terkumpul Tabung Haji menunjukkan nilai negatif dengan kerugian terkumpul lebih besar dari RM351 juta berdasarkan penyata laporan bagi tahun kewangan 31 Disember 2014 yang diaudit.
Ia bermakna, jika semua pendeposit Tabung Haji mahu mengambil kembali simpanan RM54.358 bilion, semua aset Tabung Haji tidak cukup untuk membayar simpanan dan kekurangan dana RM351 juta.

No comments: