MAKIN TUN RAZAK DIINGATI, MAKIN NAJIB DILIHAT "TAK BERGUNA"






MAKIN TUN RAZAK DIINGATI, MAKIN NAJIB DILIHAT "TAK BERGUNA"


Hari ini genap 40 tahun Tun Razak Hussein, bekas Perdana Menteri kedua Malaysia meninggal dunia. Pemergiannya secara mengejut pada 14 Januari 1976 kerana derita leukemia, terus dirasai berikutan rakyat dan negara rasa amat terhutang budi dengan segala jasa dan sumbangannya.

Tiada ada sesiapa yang dapat menafikan sumbangan Tun Razak untuk negara ini. Beliau dikenali sebagai Bapa Pembangunan kerana banyak idea, dasar dan pemikirannnya menjadi asas kepada pembagunan negara sehingga kini.

Meskipun demikian, sebagai manusia biasa, Tun Razak bukanlah pula tidak ada dosa dan kelemahannya. Tetapi, oleh sebab jasa dan sumbangannya terlalu besar, maka kelemahannya tersimpan tidak disebut orang.

Dalam hal ini, saya ada bercakap dengan beberapa bekas pemimpin yang pernah mengenali dan hidup sezaman dengan Tun Razak. Mereka mengatakan, jasa dan sumbangan Tun Razak sering dan lebih banyak dijadikan sebutan bukanlah bermakna beliau tidak ada cacat cela dan kelemahan sama sekali.

Sebaliknya, kata mereka, disebabkan jasa dan sumbangannya terlalu besar kepada rakyat dan negara, ia menjadikan ramai yang malu untuk menyebut tentang kelemahannya.

Itulah Tun Razak. Sempena 40 tahun pemergiannya, bukan saja jasa, sumbangan dan pemikirannya terus dikenang, malah hari ini satu seminar khas memperingati Bapa Pembangunan itu turut diadakan.

Sama ada kita mengenalinya atau tidak,  pernah hidup di zamannya atau sebaliknya, namun memperingati dan mengenang jasa serta sumbangan Tun Razak tetap dikira wajar kerana nilai peninggalannya yang tak ternilai untuk rakyat dan negara.

Selain itu, Tun Razak juga dikenali sebagai pemimpin yang sederhana dan berjimat cermat. Beliau bersih daripada segala dakwaan rasuah, menyalahgunakan kuasa atau hidup bermewah.

Di ketika namanya masih diingati dan diadakan pula seminar khas mengenai watak kepimpinannya, secara kebetulannya negara sedang dipimpin oleh Najib,  anak sulung Tun Razak sendiri.

Najib yang turut hadir dalam seminar itu bersama beberapa bekas pemimpin yang pernah bekerja dengan bapanya seperti Tun Abdullah Badawi dan Rafidah Aziz, tentu saja mengharapkan sedikit sebanyak limpahan imej baik memihak kepada dirinya daripada seminar tersebut.
Sebagai anak sulung dan menjejaki pula jawatan Perdana Menteri yang pernah disandang oleh bapanya, hanya seorang "anak yang perasan"  akan menganggap pujian kepada arwah orang tuanya adalah juga untuk dirinya.

Itulah yang seting dilakukan oleh Najib selama ini. Di sebalik kedudukannya  semakin jauh daripada hati rakyat berikutan pelbagai isu, kelemahan dan kesilapan sepanjang mentadbir negara sejak 2009 lalu, sering pula nama Tun Razak digunakan untuk melonjakkan imej dirinya.

Lantaran itu, mengadakan seminar khas untuk memperingati jasa dan sumbangan Tun Razak, di sebalik nama anaknya makin membusuk, lebih menjadikan Najib subjek perbandingan dengan bapanya.

Tun Razak akan terus diingati dan dikenang, tetapi menjadikan Najib kian jauh dari keperluan untuk terus memimpin negara. Tidak ada perbandingan itu yang memberi kelebihan kepada Najib.

Dalam semua segi, bukan saja tidak mungkin ada yang mengatakan Najib lebih baik atau menyamai bapanya, bahkan untuk menyatakan 50 peratus atau 30 peratus warisan pemikiran dan karektor kepimpinan Tun Razak ada padanya pun barangkali ramai yang ragu-ragu untuk menganggukkan kepala.

Najib dilihat terlalu jauh berbeza dengan Tun Razak. Tidak saja pemikiran, idea, gaya kepimpinan, gaya hidup, bahkan hampir segala-galanya berbeza.

Yang paling membezakan anak dengan bapa itu ialah kehidupan mewah, boros berbelanja, mengamalkan pemikiran "cash is king" dan sehingga membenarkan di akaun peribadinya berlabuh wang sebanyak RM2,600 juta.

Kemudian, demi untuk melindungi dan mengekalkan kuasanya, sanggup pula memperkenalkan beberapa akta, selain memecat Peguam Negara dan melakukan beberapa kacau ganggu yang lain dalam pasukan yang terlibat dalam penguatkuasaan.

Ia merupakan perkara yang tidak pernah dilakukan, bukan saja oleh Tun Razak, malah sesiapa juga Perdana Menteri sebelum Najib. Selemah-lemah dan segagal-gagal Tun Abdullah Badawi pun tidak sampai ke tahap itu kelakuannya.

Oleh kerana kontranya yang terlalu ketara, semakin Tun Razak dikenang dan diingati jasa serta sumbangannya, dalam masa yang sama ia secara tidak langsung menjadikan kepimpinan Najib kian tidak bernilai dan "kosong markahnya".

Tidak kedapatan sama sekali ciri-ciri Tun Razak pada Najib. Perbezaan dan jurang yang dalam itu sehingga membuatkan Nazir Razak beberapa kali tidak bersetuju dan menyanggah gaya kepimpinan abangnya.

Maka itu, apabila Najib turut mengatakan dalam seminar khas tersebut bahawa beliau sentiasa bekerja untuk mengikut jejak bapanya, orang-orang yang lebih mengenali Tun Razak pasti akan tersenyum-senyum saja dibuatnya. (SH 14/01/2016).

No comments: