Salleh Man tetap ikut kerajaan P Pinang, bukan pembangkang



Salleh Man tetap ikut kerajaan P Pinang, bukan pembangkang

Salleh Man tetap ikut kerajaan P Pinang, bukan pembangkang


Wakil rakyat tunggal PAS dalam dewan perundangan Pulau Pinang menegaskan beliau masih sebahagian pentadbiran negeri walaupun setiausaha agung parti itu mengisytiharkan ia kini di pihak pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir Datuk Mohd Salleh Man berkata, beliau baru sahaja membaca berita mengenai kenyataan setiausaha agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan apabila pemberita menyerbu beliau di DUN Pulau Pinang bertanyakan hal itu.

Beliau berkata, Takiyuddin hanya mengumumkan parti itu kini pembangkang di Pulau Pinang tetapi tidak berkata apa-apa tentang wakil rakyatnya.

“Beliau tidak kata wakil rakyat pun sama. Beliau hanya menyebut parti. Ia tak sama,” kata Salleh.

Ditekan pemberita untuk mendapatkan menjelaskan, beliau berkata, “Bagaimana pula dengan keadaan di Selangor?”

PAS tetap sebahagian daripada pentadbiran Selangor, bersama PKR dan DAP, walaupun dengan terkuburnya Pakatan Rakyat selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP terdahulu tahun ini.
Tiada seorang pun daripada exco negeri PAS di Selangor meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, tidak seperti Pulau Pinang, kerajaan Selangor pimpinan PKR tidak mengumumkan ia sebuah kerajaan Pakatan Harapan.

Takiyuddin hari ini berkata, PAS kini sebuah parti pembangkang di Pulau Pinang selepas kira-kira 300 ahlinya yang memegang pelbagai jawatan di Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) negeri itu dipecat baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, kerajaan negeri menghantar surat penamatan kepada mereka kerana pentadbiran memerlukan orang yang boleh bekerjasama dan menyokong kerajaan negeri serta dasar-dasarnya.

Salleh menegaskan beliau masih anggota kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, satu kenyataan yang dibuat Ketua Menteri Lim Guan Eng sendiri selepas Salleh mengesahkan sokongannya kepada pentadbiran DAP.

Salleh berkata, kedudukannya bergantung kepada speaker DUN.

“Saya memenangi kerusi itu atas semangat Pakatan Rakyat. Gabungan itu membentuk kerajaan negeri dan kini nama kerajaan negeri ditukar kepada Pakatan Harapan.

“Perubahan nama tidak menjadi isu kepada saya. Sebagai Adun pentadbiran ini, saya akan menyokong kerajaannya, tidak kira apa juga nama yang diberi.

“Kita perlu menghormati manifesto yang membawa kepada kemenangan kita dalam pilihan raya. Tidak perlu buat apa-apa andaian lagi.”


No comments: