PKR putuskan konflik Adun – Ketua Menteri P. Pinang selesai
Pertentangan pendapat antara pemimpin PKR dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng selepas 5 Adun PKR berkecuali atas usul BN mengenai alam sekitar baru-baru ini diputuskan selesai oleh Biro Penyelaras Ahli Parlimen dan ADUN.
Pengerusinya, Datuk Johari Abdul berkata isu tersebut tidak perlu diulas lagi selepas ini oleh pemimpin parti mahu pun ahli memandangkan tindakan 5 Adun itu tidak bercanggah dengan pendirian PKR.
“Selepas mendengar penjelasan daripada Ahli-ahli Dewan Undangan kita dari negeri Pulau Pinang, kita berpuas hati dengan penerangan and keputusan yang diambil oleh lima orang Ahli Dewan Undangan Negeri yang tidak mengundi dalam usul tambakan laut di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.
“Kita ambil maklum bahawa usul yang dibawa dalam Dewan itu bukan usul atau isu yang partisen. Isu yang dibawa itu adalah berkenaan dengan alam sekitar dan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Johari, PKR menghormati perbezaan pendapat kerana ia merupakan demokrasi yang sihat. Malahan, katanya, PKR berpendapat bahawa demokrasi yang sihat itu harus disemarakkan.
“Perlu juga ditegaskan bahawa kita harus ada suatu perpisahan kuasa antara pengubal undang-undang (legislators) dan eksekutif.
“Ingin kita tegaskan bahawa kita komited dengan kerajaan Pakatan Harapan di negeri Pulau Pinang. ADUN-ADUN Keadilan menyokong kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan negeri Pulau Pinang
“Isu ini dianggap selesai,” putus Johari.