Negara dalam ‘darurat’, Mat Sabu ajak rakyat turun Bersih 4
(Oleh Ermizi Muhamad)
PETALING JAYA 15 OGOS: Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB), Mohamad Sabu mengajak seluruh rakyat turun ke Himpunan Bersih 4 hujung bulan ini dengan matlamat menyelamatkan Malaysia daripada cengkaman kezaliman kerajaan Barisan Nasional.
Jelasnya, sokongan rakyat diperlukan bagi menyatakan bantahan terhadap kegagalan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kita harap seluruh rakyat dapat turun seramai mungkin dalam himpunan kali ini kerana negara kita ini sudah berada dalam keadaan paling ‘darurat’.
“Darurat ekonomi, darurat rasuah, darurat penyalahgunaan kuasa, darurat penyelewengan ini perlu dihentikan.
“Rakyat perlu bersatu untuk perbetulkan keadaan ini melalui protes himpunan bantah secara aman terhadap pemerintahan Najib,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Bersih 4 di Dewan Sivik MBPJ malam tadi.
Ditanya mengenai sokongan GHB, Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu berkata, gerakan itu turut memberikan sokongan penuh terhadap himpunan tersebut.
“Kami dari awal menyatakan komitmen kami untuk terus berkempen bukan saja di Kuala Lumpur, tetapi kami akan gerakkan penyokong GHB di seluruh negara untuk turut serta,” ujarnya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=67441