Timbalan Presiden PKR: Siapa layak? SIRI 1

OLEH RONASINA

 

Timbalan Presiden PKR: Siapa layak?

Penyandang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berdepan lima pencabar dalam pemilihan kali ini iaitu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selain empat lagi calon iaitu Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Datuk K Ramachandran dan Murali Subramaniam.

Tolak terus K Ramachandran dan Murali dari senarai kegemaran untuk memudahkan analisis ini. Ramai terkejut apabila Saifuddin Nasution juga bertanding. Seperti ada usaha belakang tabir meminta Saifuddin masuk untuk menyekat Azmin setelah jawatan Presiden dikepung rapat Anwar. Meskipun tiada salahnya Azmin bertanding Presiden (atau mungkin tidak berhajat pun) tetapi tidak manislah kerana senario politik Malaysia tidak nampak pertandingan melawan presiden parti sesuatu yang diraikan malah ia akan dibenci baik di dalam Umno, PAS mahu pun parti lain. Abdul Rahman Othman dipandang bagai musuh nombor satu parti sewaktu beliau mencalon diri bertanding jawatan Presiden PKR pada 2007 sebelum menarik diri bersama Anwar untuk memberikan kemenangan percuma kepada Wan Azizah.  

Tian Chua yang dilihat sebagai simbol garis politik awal PKR mewakili kumpulan reformis dijangka akan menarik diri untuk memberi laluan kepada Saifuddin. Umum juga melihat Tian tidak serius, hanya mahu uji pasaran kerana pada masa yang sama turut mempertahankan kerusi Naib. Mana satu fokus beliau? Timbalan atau Naib? Undi anggota (ahli) kaum Cina juga tidak menjamin kedudukan Tian. Jika tidak menarik diri pun, pengundi masih boleh mengundi Tian untuk Naib. Maka senarai semakin pendek antara Azmin, Khalid dan Saifuddin. Selain faktor peribadi mereka yang dikenali ramai bersertakan persepsi yang mengikut belakang mereka, faktor penting pemilihan kali ini ialah jika:-

1) Anwar menarik diri kerana berdepan hukuman penjara dan Wan Azizah menjadi presiden
2) Anwar tidak menarik diri dan menang kerusi presiden

Khalid Ibrahim
Khalid, rekod minat dalam kerja-kerja parti amat buruk. Kita bercakap soal parti bukan Menteri Besar dan pentadbiran negeri. Dalam menggerakkan parti termasuk kerja-kerja propaganda, menyebar idealisme parti; Khalid jauh ketinggalan berbanding Azmin. Tidak faham mengapa Khalid menawarkan diri menjadi timbalan. Jadi jika mengambil dua faktor yang disebutkan tadi sekiranya:-
1) Wan Azizah presiden dan Khalid Ibrahim timbalan maka PKR akan berhadapan kepimpinan yang lemah dan tidak tegas. Wan Azizah kita tahu lembut sifatnya seperti ibu kepada semua dan gerak kerja parti lebih banyak dijayakan timbalan, jadi sukar untuk berdepan dengan musuh politik yang tidak pernah berhenti menyerang. Khalid selalu dikritik kerana masih terus membiarkan juak-juak Umno bermaharajalela di pentadbiran Selangor.
2) Anwar presiden, nampak seperti gandingan yang mantap bersama Khalid Ibrahim tetapi itu di atas kertas sahaja kerana kedua-duanya sama keras kepala. Amat sukar mengawal Khalid yang memang tidak berminat dalam organisasi parti. Banyak keputusan Khalid buat tanpa perbincangan bersama. Ini bahaya dalam struktur organisasi parti.
Jadi, Khalid yang cenderung dengan kerja pengurusan korporat tidak sesuai duduk memimpin sebuah parti politik seperti PKR yang terdiri dari berbagai latarbelakang sama ada ahli politik, aktivis hak asasi, kesatuan sekerja, profesional, agamawan, seniman dan kaum pekerja. Menjadi Menteri Besar berbanding calon lain adalah suatu tajuk lain yang boleh didebatkan di meja berasingan, bukan pada tajuk ini.

Azmin Ali
Tidak dinafikan menjadi penggerak awal parti sejak penubuhannya. Pegawai kanan Anwar Ibrahim yang dikenali paling setia ketika ramai rakan (bekas) sudah keluar meninggalkan Anwar dan parti. Azmin juga turut menerima nasib buruk difitnah Umno sejak era reformasi 1998 melibatkan maruah diri dan keluarga. Sama seperti Anwar. Kejayaan menyusun strategi sehingga parti mencapai keputusan cemerlang dalam pilihanraya umum 1999-2008 tidak perlu dipertikai. Menjaga baik penyokong-penyokongnya. Di atas kertas, Azmin dilihat kuat. Jika dibandingkan antara Khalid Ibrahim dan Saifuddin, Azmin lebih 'dekat' dengan anggota bawahan. Mesra dan murah senyuman. Jika dua faktor disebutkan awal tadi diambilkira dan Azmin menjadi timbalan:-
1) dengan Wan Azizah sebagai presiden, parti jadi statik seperti sebelum ini. Tidak berubah. Pemerhati politik tahu hubungan Wan Azizah-Azmin tidak baik. Keadaan menjadi seperti biasa. Imej Azmin mahu jadi Menteri Besar yang dipaparkan di media dan dikepohkan di kedai kopi menyulitkan keadaan. Tugas berat juga untuk digalas ketika hendak bekerjasama dengan PAS dan DAP. Apatah lagi PKR gagal menang banyak kerusi di Selangor berbanding PAS dan DAP pada PRU13 yang lalu. Beban ini diletakkan di bahu Azmin.
2) dan jika Anwar presiden juga sekali lihat gandingan dengan Azmin sangat mantap. Tetapi sama ada Khalid jadi timbalan mahu pun Azmin, pergeseran antara kedua mereka tidak akan berhenti. Ini membuat anggota parti PKR dan rakan di dalam Pakatan Rakyat muak, bosan, benci. Mendepani penggal hadapan yang lebih mencabar, ramai tidak mahu melihat Khalid dan Azmin menimbulkan masalah. Kerja-kerja membela rakyat perlu diteruskan selari dengan memacu agenda reformasi. 
Kesimpulannya, Azmin berpotensi untuk menang tetapi masalah lama tetap akan berlaku. Pergeseran Azmin-Khalid.

Saifuddin Nasution
Jika Azmin diukur kesetiaannya, Saifuddin juga tidak kurang hebat. Terus meninggalkan jawatan Setiausaha Pemuda Umno dan Setiausaha Pemuda Barisan Nasional untuk bersama Anwar Ibrahim pada 1999. Pernah merajuk sekejap dengan PKR dan membuat kerja membantu kerajaan PAS di Kelantan tetapi dipanggil semula ke dalam PKR selepas Anwar keluar penjara. Menjawat Pengarah Strategi PKR dan berpengalaman menjadi Setiausaha Agung, Saifuddin dikatakan sosok yang layak. Meskipun kedengaran ada krisis dengan Khalid ketika masuk sekejap di pentadbiran Selangor, itu tidaklah berapa ketara sebaliknya dilihat bersifat dalaman, tidak dibawa menjadi masalah negeri seperti kes Khalid-Azmin. Kecekapan gerak kerja politik Saifuddin dipuji kerana sangat tersusun. Dua faktor tadi, jika :-
1) Wan Azizah presiden, Saifuddin selaku timbalan yang berpengalaman sebagai pengarah strategi dan setiausaha agung ketika di dalam PKR, PAS dan Umno bijak merangka strategi menangkis serangan musuh. 
2) Jika Anwar presiden, ia meringankan kerja kerana selaku timbalan, Saifuddin mudah berurusan dan berunding dengan rakan di dalam Pakatan Rakyat. 
Tetapi Saifuddin dilihat 'jauh' dengan penyokong parti. Sering kelihatan sibuk, bergegas hendak pulang dari majlis, hanya bergaul sesama rakan pimpinan di ruang khas sahaja. 

Kesimpulannya dan rumusan dari analisis ini, anggota parti wajar melihat apakah calon-calon ini berupaya memberikan helaan nafas baru kepada PKR.Masalah baru mungkin muncul tetapi anggota parti yang muak dengan drama-drama lama mengharapkan suatu perubahan demi kebaikan parti dan juga rakyat khususnya dapat dilakukan. Agenda reformasi mesti dijayakan dan anggota parti termasuk barisan kepimpinanlah yang patut duduk di garis paling hadapan berani melakukan perubahan.

Reformasi!